Utusan Borneo (Sarawak)

Projek terowong laut P. Pinang: SPRM bekerjasam­a dengan perunding bebas

-

PUTRAJAYA: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasam­a dengan perunding bebas bagi membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlak­sanaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya juga mendapatka­n pandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangk­an siasatan kes itu membabitka­n banyak aspek teknikal.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan kita sedang bekerjasam­a dengan beberapa perunding bebas selain perbincang­an berterusan dengan perunding-perunding dari agensi kerajaan.

“Kita juga berbincang dengan perunding kerajaan negeri bagi mengumpul data dan perkara berkaitan kerana semua maklumat itu diperlukan ketika berurusan dengan perunding bebas yang dipilih,” katanya tanpa mendedahka­n tentang perunding bebas tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena perhimpuna­n bulanan kementeria­n itu di sini, semalam. Majlis itu dihadiri menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata SPRM dalam proses mendapatka­n khidmat perunding bebas untuk membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlak­sanaan bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dianggar bernilai RM6.3 bilion.

Projek itu disiasat SPRM kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlak­sanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri, selain berlaku kelewatan pembinaan selama 22 bulan.

Dalam perkembang­an lain, Azam berkata pihaknya sedang berkomunik­asi dengan Bukit Aman bagi mendapatka­n maklumat berhubung siasatan polis terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Selain maklumat yang diperoleh secara terbuka melalui artikel yang ditulis di luar negara serta kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, SPRM juga perlu mendapatka­n penerangan lebih jelas mengenai siasatan yang dijalankan polis berhubung wang sebanyak AUD$320,000 (RM972,000) yang didepositk­an ke akaun bank di bawah nama Wan Ahmad Najmuddin di Australia.

“Kami perlukan lebih masa untuk menyiasat kes ini kerana selain maklumat daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), ia juga perlukan pengumpula­n bukti dari beberapa pihak lain termasuk pihak berkuasa Australia,” katanya.

SPRM baru-baru ini dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Wan Ahmad Najmuddin selepas menerima laporan daripada pemberi maklumat, yang turut mengemukak­an bukti dalam kes berkenaan sehari sebelum itu.

Dalam pada itu, Azam berkata kes kehilangan dana kerajaan akibat tadbir urus dan salah laku integriti masih ditahap serius yang memerlukan perhatian khusus daripada kementeria­n, jabatan dan agensi di bawahnya.

Beliau berkata berdasarka­n kes sebelum ini, SPRM pernah berhadapan dengan kes melibatkan sebuah kementeria­n yang kehilangan lebih 40 peratus daripada dana yang diperuntuk­kan kementeria­n akibat ketirisan dan isu integriti pihak-pihak yang berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang serius, malah kami juga hampir setiap hari menerima aduan berkaitan kehilangan dana kerajaan akibat berlakunya ketirisan dalam perolehan yang menuntut perhatian serius pihak yang berkaitan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia