Utusan Borneo (Sarawak)

Wenger akui bergelut tambat kembali hati penyokong

-

LONDON, England: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, mengakui pasukannya bergelut untuk memenangi kembali hati penyokong kelab selepas ribuan penyokong tidak hadir ketika Arsenal menewaskan Watford 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Untuk perlawanan kedua berturut-turut di Stadium Emirates, ada banyak tempat duduk kosong kelihatan Ahad lepas.

Arsenal menyalahka­n salji tebal dengan kehadiran penonton yang kurang ketika tewas kepada Manchester City sebanyak dua kali tetapi ketiadaan beberapa penonton pada perlawanan menentang Watford mungkin boleh dikatakan disebabkan kemarahan dan kekecewaan penyokong selepas satu lagi musim buruk kelab.

“Mungkin cuaca bawah paras beku sekali lagi di Emirates,” kata pengulas sukan yang juga bekas bintang Manchester United, Gary Neville sebelum sepak mula perlawanan.

Tetapi Wenger, yang juga bergelut mengekalka­n jawatannya di kelab, mengakui beliau boleh memahami kenapa penyokong Arsenal berasa sangat kecewa dengan tempoh buruk pasukan.

“Ada banyak perkara negatif Ia seperti hujan di England, ia mudah menerima hujan,” kata beliau.

“Sudah tentu saya bimbang kerana saya mahu penyokong memberi sokongan kepada pasukan, tetapi selepas apa yang berlaku dalam beberapa minggu yang lalu, ia boleh difahami.

“Kami mahu mempunyai penyokong hadir di stadium dan kami akan melakukan segala-galanya untuk memastikan ia berlaku.

“Saya menghormat­i pandangan semua orang tetapi saya memberikan fokus sepenuhnya kepada tugas saya.”

Walaupun kurang penonton, Arsenal mempamerka­n aksi memberangs­angkan menerusi gol Shkodran Mustafi, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan untuk menamatkan tiga kekalahan berturut-turut pasukan dalam liga.

Namun kemenangan tidak memberikan banyak perubahan dalam usaha Arsenal memburu empat tangga teratas liga – kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Tanpa sebarang kejuaraan liga sejak 2004, Wenger mengharapk­an kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan dengan memenangi Liga Europa akan menjamin kedudukan beliau untuk terus membimbing kelab musim hadapan.

Arsenal menewaskan AC Milan 2-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Europa Khamis lepas. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia