Utusan Borneo (Sarawak)

HAKISAN UBAH PANTAI TUSAN

Landskap pantai berdepan perubahan berikutan hakisan semakin teruk.

- Oleh Clare Cinderella

MIRI: Landskap Pantai Tusan yang indah dan popular suatu ketika dahulu serta dikaitkan dengan fenomena ‘air mata biru’ kini berdepan dengan perubahan bentuk tebingnya berikutan hakisan semakin teruk sejak beberapa bulan kebelakang­an ini.

Hakisan tersebut berlaku di beberapa kawasan tebing tinggi sepanjang pantai itu akibat pasang surut air laut dan ombak menghempas tebing-tebingnya sehingga meruntuhka­n beberapa struktur tanah.

Malah, pengunjung ke pantai yang semakin terkenal itu kini berasa takut dan tidak kurang melahirkan kebimbanga­n dengan keadaan hakisan menjadi semakin buruk jika tiada tindakan segera daripada pihak berkuasa.

Seorang pelawat dari Miri, Ata Kassim berkata beliau amat sedih melihat tanah di tebing-tebing pantai itu terhakis hanya ditutup dengan plastik sahaja tanpa ada tanda-tanda akan diperbaiki.

“Lokasi-lokasi terhakis itu hanya ditutup dengan plastik besar sahaja tanpa ada tandatanda mahu memperbaik­inya atau menangani masalah hakisan tersebut.

“Hakisan ini pasti terus berlaku dan langkahlan­gkah segera mesti diambil atau tanah di tebing pantai semakin terhakis dari semasa ke semasa," katanya di sini semalam.

Menurut Ata, laluan pejalan kaki sementara turun ke pantai masih dapat digunakan pengunjung terutama mereka yang mahu melihat monumen batu semula jadi menyerupai kepala seekor kuda sedang minum air selepas laluan asalnya rosak dihempas ombak.

Sehubungan itu, beliau mencadangk­an agar pihak berkuasa berkaitan membina tembok penahan ombak seperti dinding batu pendaki bagi memelihara tebing-tebing agar tidak terus dihakis ombak terutama ketika air pasang besar.

Beliau turut mencadangk­an laluan kekal dibina sepanjang tebing pantai dari Tusan menuju ke Pantai Peliau yang bukan sahaja memberi pelancong pengalaman menikmati angin laut tetapi keindahan semula jadi landskap batu.

"Pada masa ini, laluan yang ada hanyalah laluan kecil dibuat oleh penduduk setempat dari kedua-dua lokasi untuk memberi pelancong pengalaman berjalan atau mengembara dari Pantai Peliau menuju ke Pantai Tusan dan sebaliknya," ujar Ata.

Berkongsi pandangan sama, seorang pelancong dari Brunei, Habebah Mokti mahu supaya lebih banyak papan tanda menunjukka­n lokasi-lokasi menarik di pantai tersebut terutama monumen batuan semula jadi yang terkenal dan indah.

Pada masa sama katanya, pihak berkuasa perlu menganjurk­an lebih banyak sukan air di pantai tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Pada masa ini tidak banyak dapat dilakukan di Pantai Tusan selain menikmati keindahan alam semula jadi, mengunjung­i premis-premis makanan serta menyaksika­n persembaha­n kumpulan pemuzik pada setiap Ahad.

"Fikirkan sesuatu yang dapat menarik lebih ramai pelancong menyaksika­n keindahan Pantai Tusan selain menggalakk­an lebih banyak nelayan keluar memancing hujung minggu dan kemudian menjual terus bekalan ikan segar kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata usaha bersungguh-sungguh bukan sahaja perlu dilakukan pihak berkuasa tetapi juga Kementeria­n Pelanconga­n menjadikan Pantai Tusan sebagai salah satu pantai indah di Miri dan tersedia dengan kemudahan serba lengkap.

Sementara itu, pengusaha gerai-gerai makanan di Pantai Tusan juga berharap masalah hakisan tanah dapat ditangani dengan segera agar mereka dapat menjalanka­n perniagaan seperti biasa serta tidak kehilangan pegunjung dan pelanggan.

 ??  ?? TERHAKIS: Beginilah keadaan hakisan di Pantai Tusan yang hanya ditutup dengan plastik tanpa ada sebarang tanda membaikiny­a. PERBAIKI: Keadaan tebing pantai semakin terhakis dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan.
TERHAKIS: Beginilah keadaan hakisan di Pantai Tusan yang hanya ditutup dengan plastik tanpa ada sebarang tanda membaikiny­a. PERBAIKI: Keadaan tebing pantai semakin terhakis dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia