Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM akan tubuh pasukan petugas khas pantau PRU14

-

KUCHING: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan petugas berkenaan turut dianggotai agensi daripada Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemantauan akan dibuat semasa kempen dijalankan dan kami memantau isu yang ditimbulka­n mana- mana pihak.

“Ia menyatakan tentang isu rasuah dan salah guna kuasa di mana boleh dikuat kuasa di bawah Akta SPR 1954,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sarawak baharu, Razim Mohd Noor di Kompleks SPRM Sarawak di sini, semalam.

Akta SPR 1954 adalah akta akta bagi mencegah kesalahan pilihan raya dan perbuatan rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam pilihan raya.

Tambah Azam, biasanya sebaik sahaja pilihan raya diumum atau parlimen dibubar oleh kerajaan, tiga agensi iaitu SPRM, SPR dan polis akan bergabung membentuk pasukan petugas khas.

“Ia tidak melibatkan SPRM sahaja tetapi agensi lain terutama polis dan badan pengendali pilihan raya iaitu SPR,” tegasnya.

Mengulas mengenai ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkan­g disiasat oleh SPRM, Azam berkata statistik berkenaan adalah mereka yang disiasat oleh SPRM sejak beberapa tahun lepas.

“Jumlah itu adalah diberikan oleh menteri kita (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low) semasa persidanga­n di Parlimen.

“Sebenarnya ada antara mereka yang disiasat ini telah didakwa di mahkamah namun ada juga yang secara asasnya bukan kes di bawah akta kami,” katanya.

Sementara itu beliau tidak menafikan ada daripada ahli politik terbabit kini masih dalam siasatan.

Pada Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dalam jawapannya di Dewan Rakyat memaklumka­n bahawa dalam tempoh 2013 hingga 2017, seramai 92 pemimpin politik telah disiasat oleh SPRM kerana pelbagai dakwaan salah laku.

Katanya 71 yang disiasat terdiri daripada para pemimpin BN manakala baki 21 adalah pemimpin Pakatan Harapan gabungan DAP, PKR, Amanah dan PPBM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia