Utusan Borneo (Sarawak)

Komitmen Abang Johari kembalikan hak Sarawak bukan retorik

-

KUCHING: Komitmen dan kesungguha­n Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg mengembali­kan hak Sarawak khasnya berkaitan isu minyak dan gas telah dibuktikan bukan retorik atau cakap kosong (hot air) semata-mata.

Sebaliknya Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatka­n bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang cakap kosong serta menggunaka­n pendekatan sudah lapuk.

“Sebelum ini semasa Perhimpuna­n Agung PBB Ke14, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menyatakan kesungguha­n dan komitmen mengenai hak minyak dan gas Sarawak termasuk pemberian lesen melombong minyak dan gas kepada Petros.

“Ternyata ia bukan retorik atau janji kosong sahaja kerana disusuli tindakan konkrit dengan mengeluark­an lesen berkenaan kepada Petros. Ia adalah langkah berani ketua menteri kita yang juga presiden PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaa­n Sekalung Budi Sejambak Kasih sempena Perhimpuna­n Agung PBB Ke-14 yang dihadiri Abang Johari serta isterinya Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang di sini, malam kelmarin.

Tambah Uggah yang juga timbalan presiden PBB, mala- han tindakan Abang Johari itu telah disaksikan semua rakyat Malaysia yang sekali gus menyangkal dakwaan DAP khasnya Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa ia adalah cakap kosong.

“Sebenarnya DAP sendiri yang cakap kosong dan pendekatan mereka untuk memperjuan­gkan royalti 20 peratus minyak dan gas adalah pendekatan lapuk.

“DAP adalah parti berasal dari Semenanjun­g Malaysia dan saya tidak pasti apa yang diperjuang­kan Chong untuk Sarawak kerana pada saya apa yang diperjuang­kanya tiada apa- apa berbanding ketua menteri kita,” tegas Uggah.

Sehubungan itu kata beliau, rakyat Sarawak harus menilai dan menolak DAP dalam usul mereka di Parlimen.

Uggah berkata sementara itu semua delegasi perwakilan perhimpuna­n agung serta ahli PBB lain menyatakan sokongan penuh kepada Abang Johari dalam strategi serta langkahnya mengembali­kan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, apa yang penting adalah PBB harus bersatu menjadi parti yang stabil dan mengekalka­n perhubunga­n erat bagi membolehka­n Sarawak kekal ke arah mencapai kemajuan.

“Perhimpuna­n kita kali-14 lepas ternyata amat berjaya dan mencipta sejarah dengan menyampaik­an mesej penting kepada Sarawak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia