Utusan Borneo (Sarawak)

Stadium Nasional jadi Pawagam Mega sempena Tayangan Perdana Sedunia filem Lee Chong Wei

-

STADIUM Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur baru-baru ini bertukar menjadi pawagam mega dengan ribuan penonton menyaksika­n acara Tayangan Perdana Sedunia filem ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahka­n kehidupan awal Datuk Lee Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia pada 21 Ogos 2008 ketika berusia 26 tahun.

Dipancarka­n pada sebuah skrin LED khas gergasi berukuran 40 meter x 17 meter, filem biopik versi tambahan 133 minit itu, mencipta nama dalam Asia Book of Records dan Malaysia Book of Records, sebagai gala filem terbesar.

Versi filem rasmi hanya berjalan selama 110 minit dan akan mula ditayangka­n di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) di seluruh negara mulai hari ini (15 Mac).

Chong Wei bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance menyertai lebih 20,000 penonton untuk menyaksika­n filem tersebut untuk julung kali.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Acara tayangan perdana itu bermula dengan majlis acara permaidani merah sepanjang 100 meter dengan mengalu-alukan kedatangan Chong Wei dan keluarga, barisan pelakon, tetamu serta selebriti jemputan.

Para penonton turut dihiburkan oleh dua penyanyi – Nabila Razali dan Priscilla Abby – yang mendendang­kan lagu tema filem tersebut, ‘Cahaya Juara’.

Filem itu dibintangi Tosh Chan yang membawa watak Chong Wei dewasa dan Jake Eng menjayakan watak zaman kanakkanak.

Turut membintang­i ialah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Penonton yang membeli tiket berharga RM88, RM108, RM128 dan RM168 untuk tayangan perdana itu turut menerima secara percuma sehelai kemeja-T filem Lee Chong Wei bernilai RM59, sekeping tiket filem Lee Chong Wei di pawagam GSC, sekeping poster edisi terhad filem Lee Chong Wei serta beg.

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia