Utusan Borneo (Sarawak)

CUBAAN BERI SUAPAN JERAT TIGA PENIAGA DEGIL

-

MIRI: Cubaan memberi suapan lebih RM1,000 kepada pihak berkuasa menjerat diri apabila tiga individu yang memiliki premis kedai berasingan ditangkap dalam satu serbuan yang dijalankan pagi Selasa lalu.

Tiga lelaki berusia 30, 43 dan 46 tahun itu ditangkap di premis kedai masing-masing di sekitar Senadin dan Bandar Baharu Permyjaya.

Difahamkan, sudah tiga kali amaran keras mengenai kesalahan cuba memberi rasuah diberikan kepada pemilik premis berkenaan, namun tidak diendahkan sekali gus mendorong pihak berkuasa menangkap ketiga-tiga suspek.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri Superinten­den Tan Hiap Seng berkata, serbuan yang bermula jam 10.55 pagi hingga 12.45 tengah hari itu dilaksanak­an sembilan anggota PGA diketuai Inspektor Rizuan Makladin.

Menurutnya, serbuan menerusi Ops Libas dan Bersepadu itu turut dibantu tiga pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Miri.

“Selain tangkapan tiga suspek yang cuba memberi suapan, kita juga berjaya merampas lebih 1,500 karton rokok dan minuman keras pelbagai jenis dari ketiga-tiga premis dengan anggaran nilai rampasan keseluruha­n RM421,150.

“Semasa pemeriksaa­n dibuat, pemilik premis gagal menunjukka­n dokumen berkaitan menyebabka­n kesemua barangan yang dijumpai tersebut dirampas kerana disyaki tidak mempunyai cukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Jelas Tan, di premis pertama, sejumlah 650 karton rokok dalam 13 kotak besar berserta dua karton mengandung­i tin minuman keras dirampas.

“Di premis kedua pula, sejumlah 1,000 karton rokok pelbagai jenama dalam 20 kotak besar dirampas.

“Manakala di premis ketiga pula, 18 kotak mengandung­i botol minuman keras, 21 karton tin minuman keras pelbagai jenama dan sebuah kenderaan jenis lori berjaya dirampas,” katanya.

Ketiga-tiga suspek yang ditangkap berserta barang rampasan kemudian diserahkan kepada SPRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Sehubungan itu, tindakan sebegini akan diteruskan Batalion 12 PGA Miri bersama agensi-agensi lain terutamany­a SPRM,” katanya.

 ??  ?? BAHAN BUKTI: Rokok disyaki tanpa cukai kastam yang berjaya dirampas.
BAHAN BUKTI: Rokok disyaki tanpa cukai kastam yang berjaya dirampas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia