Utusan Borneo (Sarawak)

Iniesta akui masa depan beliau mungkin berada di tempat lain

-

BARCELONA, Sepanyol: Kapten Barcelona, Andres Iniesta mendedahka­n beliau ada menerima tawaran untuk berpindah ke China dan akan membuat satu keputusan mengenai masa depannya sebelum akhir bulan April.

Pemain berusia 33 tahun itu datang dari akademi Barca dan sudah membuat 400 penampilan untuk kelab dan menandatan­gani satu “kontrak seumur hidup” bersama Barca pada bulan Oktober.

Tetapi selepas kemenangan 3-0 ke atas Chelsea untuk mengesahka­n tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara, Iniesta mengakui masa depan beliau mungkin berada di tempat lain.

“Sebelum 30 April, saya harus membuat keputusan sama ada saya masih di Barcelona atau akan ke China. Saya harus menilai apa yang terbaik untuk saya dan untuk kelab,” kata beliau.

“Ia satu keputusan di mana saya akan berkomunik­asi dengan kelab terlebih dahulu dan kemudian anda akan mengetahui­nya. Saya akan membuat satu keputusan menjelang 30 April.

Iniesta dikaitkan dengan perpindaha­n ke kelab Tianjin Quanjin, walaupun kelab Liga Super China itu mengisytih­arkan khabar angin itu sebagai “palsu” pada minggu ini dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang untuk membantera­s penularan khabar angin itu.

Iniesta memenangi trofi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali dan kejuaraan La Liga Sepanyol sebanyak lapan kali sepanjang tempoh di Barca.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde berkata: “Ia satu keputusan peribadi, beliau harus membuatnya.

“Saya tidak memikirkan sebuah pasukan Barcelona tanpa Andres Iniesta ketika ini kerana sekarang kami mempunyai pasukan Barcelona dengan Andres Iniesta.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia