Utusan Borneo (Sarawak)

Pokya ‘Gedebe’ kembali dengan

-

SELEPAS mencipta kejayaan luar biasa menerusi karya ‘Pokya Cong Codei’ arahan dan lakonannya sendiri, aktor versatil Sabri Yunus kini sedang menyiapkan sambungan telefilem berkenaan, ‘Pokya Cong Codei Raya’.

Sesuai dengan judulnya, telefilem itu adalah untuk tontonan pada Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Mengakui watak ‘Pok Ya’ sebagai satu jenama baharunya dalam industri seni, anak jati Kelantan berusia 57 tahun itu berkata telefilem berkenaan masih mengekalka­n dirinya sebagai Pok Ya, selaku teraju utama.

Pok Ya sebenarnya adalah seorang penghulu gedebe, yang dalam dialek Kelantan bermakna samseng.

Beliau berkata, Pok Ya Cong Codei Raya mengisahka­n persiapan Pok Ya bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga selepas ditinggalk­an isteri muda seperti diceritaka­n pada telefilem pertama.

“Ia juga menceritak­an Pok Ya kembali kepada pangkuan isteri-isteri dan anak-anak yang diabaikann­ya sebelum itu.

‘’Isteri-isteri dan anakanak Pok Ya ini adalah watak baharu yang akan diperkenal­kan dan saya sudah mengenalpa­sti beberapa ‘anak Kelantan’ untuk melakonkan­nya,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu ‘Nine11’ terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur kelmarin.

‘Pok Ya Cong Codei’ yang ditayangka­n 20 Januari lalu turut menampilka­n lakonan mantap Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikri Ibrahim, dengan mengisahka­n perjalanan Pok Ya ke ibu kota untuk mencari anak perempuan seorang Datuk yang kononnya dilarikan penculik.

Selain jalan cerita menarik, telefilem itu menjadi tular disebabkan oleh nama Hotel Concorde yang dieja dan disebut oleh Pok Ya sebagai ‘Cong Codei’ sehingga menjadi ikutan penonton dan trending di laman sosial.

Sabri berkata antara barisan pelakon yang dijangka turut muncul dalam ‘Pak Ya Cong Codei Raya’ adalah pelakon jelita Sasqia Dahuri (Nurlisasqi­a Ahmad Dahuri), pelawak Issey (Fazlisham Mat Hussin) dan aktor karismatik Wan Hanafi Su.

Tambahnya, telefilem itu masih mengekalka­n latar lokasi di sekitar Kelantan dan Temerloh, Pahang.

Dalam pada itu, Sabri secara peribadi mengakui terkejut dengan sambutan luar jangkaan terhadap karyanya itu ketika mula ditayangka­n di kaca televisyen.

“Kejayaan telefilem ini menaikkan semangat untuk terus berkarya dan semestinya sebagai seorang anak seni saya mempunyai keinginan melakonkan pelbagai lagi watak serta mengetenga­hkan variasi karya dalam dunia seni,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia