Utusan Borneo (Sarawak)

Najib yakin ringgit akan meningkat ke paras RM3.80

-

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin ringgit akan meningkat ke paras RM3.80 berbanding dolar AS dalam jangka masa terdekat ini.

Beliau berkata keyakinan tersebut adalah susulan petunjuk positif daripada pencapaian semasa ekonomi negara serta nilai eksport negara yang melebihi RM80 bilion pada suku pertama tahun ini.

“Nilai mata wang kita semalam (kelmarin) turun sikit kepada RM3.90 daripada RM3.89. Saya yakin insyaAllah dalam masa terdekat mungkin ia akan naik kepada RM3.80.

“Dari segi nilai mata wang, kita adalah antara best performanc­e currency (mata wang yang mencatatka­n prestasi terbaik). Sebab beberapa bulan yang lalu, ringgit kita berada di paras RM4.49. Tapi lepas ini akan jadi RM3.80 tak lama lagi,” katanya semasa berucap pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat - Penjawat Awam, di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan, dekat sini, semalam.

Acara tersebut merupakan edisi keempat Program Bajet 2018 Perdana Menteri Bersama Rakyat-Penjawat Awam bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai polisi kerajaan yang telah dan akan dilakukan.

Najib juga berkata berkata penarafan tiga badan antarabang­sa iaitu Fitch, Moodys dan Standard & Poors terhadap keupayaan pentadbira­n kerajaan barubaru ini disifatkan­nya sebagai “bukan calang-calang pengiktira­fan”.

Jelasnya, ketiga-tiga badan antarabang­sa tersebut telah datang sendiri ke negara ini untuk mengkaji secara mendalam daripada segi fakta dan angka sebelum memberi pengiktira­fan kategori A kepada Malaysia.

“Negara kita ( diberi penarafan) A-, Singapura mungkin tinggi sikit tapi kita dalam kelompok A. Negara Itali (pula) B (penarafan), negara Greece lagi teruk, negara Rusia B. Jadi kalau orang kata kita ini akan bankrap, ikut hukum akal kumpulan B akan bankrap dulu. Bagaimana A boleh bankrap dulu daripada B?.

“Masa kita lalui Asian Financial Crisis 1997 (Krisis Kewangan Asia 1997), masa itu rizab kita AS$20 bilion, masa tu tidak bangkit cerita bankrap. Sekarang AS$103 bilion rizab negara (jadi) rizab hari ini sudah lima kali ganda,” katanya.

Najib juga berkata nilai pinjaman negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menguncup ketika ini daripada 54 peratus kepada 50.8 peratus.

Pada jam 9 pagi ini (semalam), ringgit berada pada paras 3.9050/ 9100 berbanding dolar AS daripada 3.9040/9080 sewaktu ditutup pada Rabu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia