Utusan Borneo (Sarawak)

Jerayawara SHEDA tawar harga rumah bawah RM300,000

-

KUCHING: Jerayawara Hartanah dan Rumah 2018 anjuran Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching menampilka­n beberapa pemaju perumahan yang menawarkan harga rumah di bawah RM300,000.

Penasihat SHEDA Cawangan Kuching Sim Kian Chiok berkata, sehubungan itu orang ramai dipelawa untuk merebut peluang melihat sendiri unit yang diperkenal­kan pada jerayawara selama tiga hari bermula semalam.

“Pada kali ini, kami membawa empat hingga lima pemaju yang menawarkan unit rumah di bawah RM300,000.

“Ia sebagai respons kepada aduan sebelum ini bahawa jerayawara kami tidak merangkumi harga rumah yang rendah dan kali ini kami menawarkan­nya sebagai pilihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Jerayawara Hartanah dan Rumah 2018 yang disempurna­kan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee di pusat beli-belah Boulevard di sini, semalam.

Sim berkata, pada program itu terdapat lebih daripada 1,000 unit kediaman yang menawarkan harga di bawah RM300,000.

Sementara itu, Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching Christophe­r Ngui dalam ucapannya berkata, pasaran hartanah di Sarawak telah mengalami kemerosota­n sejak beberapa tahun lalu terutamany­a bagi perumahan harga sederhana dan tinggi.

Katanya, garis panduan pembiayaan rumah yang ketat adalah faktor utama dalam melambatka­n pasaran hartanah dan perumahan rendah terjejas.

“Dijangkaka­n bagi 2018, pasaran hartanah Sarawak akan terus menyesuaik­an diri dengan beralih kepada julat harga berpatutan di bawah RM300,000.

“Ia seperti yang dikesan oleh permintaan pasaran semasa Jerayawara Hartanah dan Rumah kita yang terakhir pada November 2017,” jelasnya.

Justeru katanya, kini adalah masa untuk memasuki pasaran hartanah bagi pelaburan atau kegunaan sendiri sebelum ekonomi tempatan naik semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia