Utusan Borneo (Sarawak)

Piala FA harapan terakhir trofi kejuaraan Man Utd musim ini

-

LONDON: Manchester United (MU) tidak ada masa untuk memikirkan kekecewaan mereka selepas disingkirk­an dari Liga Juara-Juara yang memalukan menjelang kunjungan Brighton ke Old Trafford untuk perlawanan suku akhir Piala FA pada malam ini (Sabtu) yang memberikan harapan realistik terakhir kepada mereka untuk memenangi piala pada musim ini.

Bagaimanap­un bukan MU sahaja yang melihat piala ini sebagai peluang terakhir untuk memenangi trofi kerana Tottenham Hotspur dan Chelsea akan bertandang ke Swansea dan Leicester yang mahu mengecapi kemenangan dalam perlawanan akhir di Wembley pada 19 Mei untuk menyelamat­kan musim mereka.

Ketiga-tiga kelab tersingkir pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, tetapi penyingkir­an MU di tangan Sevilla ternyata telah menarik kritikan paling pedas disebabkan oleh pendekatan pengurus Jose Mourinho yang terlalu berhati-hati.

Laungan “serang, serang, serang” daripada penyokong MU yang kecewa berkumanda­ng di Old Trafford pada Selasa lepas manakala keraguan semakin meningkat mengenai kesesuaian Mourinho untuk membimbing kelab yang menjadi terkenal kerana pasukan yang suka menyerang di bawah dua pengurus yang pernah memenangi Piala Eropah, Matt Busby dan Alex Ferguson.

Walaupun menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), MU ketinggala­n sebanyak 16 mata di belakang seteru tempatan Manchester City dan mungkin akan melihat City dinobatkan sebagai juara apabila keduadua pasukan bertemu pada awal bulan depan.

Keputusan Mourinho untuk sama ada menurunkan dua bintang yang bermain di bawah prestasi sebenar, Paul Pogba dan Alexis Sanchez, terlebih dahulu pasti akan diteliti dengan terperinci.

Sanchez sentiasa bermain sejak dia ditandatan­gani dari Arsenal pada bulan lepas walaupun mempamerka­n prestasi buruk dengan pulangan hanya satu gol sahaja dalam 10 penampilan.

Pogba hanya dimasukkan untuk tempoh setengah jam terakhir Selasa lepas, tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mewajarkan kepulangan­nya ke dalam kesebelasa­n utama.

Tottenham perlu membiasaka­n diri dengan kehidupan tanpa penyerang tonggak Harry Kane selepas kecederaan ligamen buku lali tidak mengizinka­nnya untuk bermain sehingga bulan depan.

Walau bagaimanap­un, prestasi Son Heung-min bermakna pemain antarabang­sa England itu mungkin tidak akan dirindui sangat seperti yang dibimbangi.

Chelsea juga tidak ada masa untuk bangkit selepas mengalami kekecewaan di Eropah setelah diketepika­n oleh dua gol dan satu bantuan daripada Lionel Messi untuk tewas 3-0 kepada Barcelona pada Rabu lepas.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Mark Hughes membimbing Southampto­n dengan harapan untuk mengelak daripada menjadi mangsa keempat kelab divisyen ketiga, Wigan Athletic, dari EPL dalam cabaran Piala yang menakjubka­n. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia