Utusan Borneo (Sarawak)

Pemain ski Korea Selatan digantung seumur hidup

-

SEOUL: Dua pemain ski gaya bebas Korea Selatan yang bertanding di temasya sukan Olimpik Musim Salji Pyeongchan­g pada bulan lepas telah digantung seumur hidup kerana didakwa menyerang rakan sepasukan wanita, kata persatuan ski di Seoul kelmarin.

Choi Jae Woo dan Kim Ji Hyon dituduh “mendera atlet wanita secara fizikal dan seksual” di satu pertanding­an di Jepun pada bulan ini, kata seorang jurucakap Persatuan Ski Korea ( KSA) kepada AFP.

Selepas satu siasatan, katanya, “kami memutuskan untuk menggantun­g Choi dan Kim buat selama-lamanya”, dan menambah kedua-dua mereka akan dilarang daripada mendaftar diri sebagai pemain ski di KSA – langkah pertama untuk mengambil bahagian dalam pertanding­an di dalam dan luar negara.

Tindakan itu diambil pada waktu kempen #MeToo sedang berkembang di Korea Selatan, yang masih bersifat patriarki dari segi sosial walaupun ia maju dari segi ekonomi dan teknologi, dan di mana wanita sekian lama keberatan untuk tampil ke hadapan dengan tuduhan terhadap lelaki berpengaru­h.

Jurucakap KSA berkenaan berkata Choi, 24, dan Kim, 23, minum bersama dalam bilik hotel mereka sewaktu Piala Dunia Ski Gaya Bebas di Akita.

Mereka meminta atlet wanita dalam bilik sebelah untuk menyertai mereka, dan beberapa laporan media menyebut mereka menyerang wanita-wanita tersebut apabila menolak pelawaan mereka.

Wanita- wanita terbabit meminta polis Korea Selatan untuk menyiasat kedua-dua mereka kerana melakukan serangan selepas mereka kembali ke Seoul, kata KSA.

Choi sekarang menduduki tempat keempat dalam Piala Dunia FIS mogul dan merupakan salah seorang pemain ski paling terkenal di Korea Selatan.

Dia sampai ke final mogul lelaki di Sukan Musim Salji Pyeongchan­g tetapi tidak menamatkan cubaan keduanya. Kim tersingkir pada peringkat kelayakan.

Choi berkata ketika itu bahawa dia mahu bertanding di Olimpik Musim Salji Beijing pada 2022 – matlamat yang pasti mustahil di bawah penggantun­gan berkenaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia