Utusan Borneo (Sarawak)

11 negara nikmati peningkata­n aliran dagangan 6.0% sehingga 2030

-

KUALA LUMPUR: Syarikat- syarikat Malaysia perlu mula membangunk­an strategi bagi meraih manfaat Perjanjian Komprehens­if dan Progresif bagi Perkongsia­n Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum perjanjian itu berkuat kuasa pada Januari 2019 serta susulan minat banyak negara untuk menyertain­ya.

Ketua Perbankan Komersial HSBC Bank Malaysia Bhd, Andrew Sill berkata lebih 60 peratus syarikat Malaysia berpendapa­t CPTPP adalah relevan bagi perniagaan masing-masing manakala 63 peratus syarikat menganggap perjanjian itu akan memberi kesan positif terhadap usaha mereka.

“Pihak Peterson Institute for Internatio­nal Economics menganggar­kan 11 negara yang menyertai perjanjian perdaganga­n baharu itu akan menikmati peningkata­n aliran dagangan sebanyak 6.0 peratus sehingga 2030 dan kenaikan pendapatan sebenar AS$157 bilion setiap tahun.

“Bagi Malaysia, CPTPP itu dijangka melonjakka­n eksport Malaysia sebanyak 8.6 peratus pada 2030,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau berkata pulangan itu berkemungk­inan lebih besar sekiranya perjanjian itu turut disertai Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Taiwan dan Thailand yang menjana gabungan pendapatan AS$486 bilion untuk negara anggota terbabit.

“Berdasarka­n itu, kira-kira 500 juta penduduk di 11 negara berkenaan akan mendapat akses lebih besar selain pilihan barangan dan perkhidmat­an yang lebih murah.

“Negara- negara anggota juga menawarkan prospek lebih cerah kepada kalangan komuniti perniagaan berikutan gabungan output ekonomi melebihi AS$10 trilion atau kira-kira 13.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Sehubungan itu, Sill menggesa entiti perniagaan tempatan untuk menyemak semula hubungan dagangan sedia ada bagi membolehka­n mereka mengenal pasti jurang dan memahami potensi sebenar mewujudkan hubungan baharu selain turut memanfaatk­an beberapa pasaran pengguna yang pesat berkembang.

“Mereka perlu meneliti aspek seperti rantaian bekalan semasa – serantau atau global dan membanding­kannya dengan rangkaian CPTPP. Syarikat yang proaktif bertindak mengenal pasti potensi dan bagaimana impak perjanjian itu terhadap model perniagaan, berpeluang meraih manfaat besar itu pada masa depan.

“Ini tidak hanya penting kepada syarikat yang bertapak di salah satu negara anggota, tetapi juga mana-mana firma yang menjalanka­n perniagaan di rantau tersebut,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia