Utusan Borneo (Sarawak)

Seminar ‘Uyar Kalvi Lachiya Payanam’ sasar 10,000 lepasan SPM, STPM

-

KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 peserta kaum India dijangka menghadiri seminar ‘Uyar Kalvi Lachiya Payanam’ 2018, atau hala tuju pengajian tinggi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) di seluruh negara.

Seminar anjuran Gagasan Pelajar India 1Malaysia (1MISM) dan Persatuan Alumni India Universiti Malaya (PANIUM) itu berlangsun­g bermula semalam sehingga 10 April di 14 lokasi termasuk Seremban, Negeri Sembilan; Sungai Petani, Kedah dan Mentakab, Pahang.

Presiden 1MISM Dr D. Mahaaganap­athy berkata seminar yang memasuki tahun kelima penganjura­nnya itu diadakan bagi membimbing pelajar lepasan SPM dan STPM tentang peluang hala tuju pengajian tinggi mereka.

“Melanjutka­n pengajian sehingga ke menara gading merupakan impian semua pelajar dan ibu bapa mereka, ilmu yang diperoleh tentunya akan membantu meningkatk­an taraf sosioekono­mi hidup masyarakat.

“Justeru, bimbingan yang baik akan membantu pelajar masyarakat India mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi terutama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya pada sidang media selepas melancarka­n seminar itu di sini, semalam. Turut hadir Presiden PANIUM M. Manivannan.

Mahaaganap­athy berkata penganjura­n seminar itu juga menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menetapkan sasaran 7 peratus kemasukan pelajar kaum India ke IPTA di negara ini.

Beliau berkata antara kandungan seminar tersebut adalah sesi kaunseling dan bimbingan secara individu yang dikendalik­an pelajar cemerlang dan golongan profesiona­l selain pemberian maklumat tentang senarai biasiswa dan cara permohonan.

“Buku panduan ‘Uyar Kalvi Lachiya Payanam’ setebal 148 surat yang memuatkan antaranya pilihan kursuskurs­us di institusi pengajian tinggi dan kerjaya yang bakal boleh diceburi para graduan, juga diedarkan secara percuma kepada semua peserta yang menghadiri seminar ini.

“Orang ramai boleh memuat turun buku tersebut (e-book) jika mereka mahu melalui laman Facebook 1MISM mulai 19 Mac depan,” katanya dan menambah maklumat berhubung jadual seminar tersebut boleh didapati di laman Facebook organisasi itu.

Terdahulu, seramai 15 peserta menerima sijil kecemerlan­gan pada majlis itu di atas kejayaan mereka termasuk bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor, R. Sujithra yang memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaa­n SPM 2017. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia