Utusan Borneo (Sarawak)

ASEAN dan Australia perlu tingkat kerjasama dalam usaha mencegah penyebaran ideologi pengganas: Najib

-

SYDNEY: Negara anggota ASEAN dan Australia perlu meningkatk­an serta menggiatka­n lagi kerjasama dalam usaha mencegah penyebaran ideologi pengganas, di samping mengamalka­n pendekatan lebih berkesan bagi memerangi ancaman radikalisa­si dan pengganas ekstremis di Asia Pasifik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tiada negara yang mampu memerangi keganasan secara bersendiri­an. Sekiranya kita lebih bersatu, maka akan menjadi lebih berkesan dalam memerangi ancaman yang dahsyat dan tidak berperikem­anusiaan ini.

“Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang selamat daripadany­a.

Tetapi, andainya kita bersatu, kita akan lebih selamat,” kata perdana menteri ketika menyampaik­an ucaptama pada Majlis Penutupan Persidanga­n Pencegahan Keganasan di Internatio­nal Conference Centre (ICC) Sydney di sini pada Sabtu.

Persidanga­n itu adalah antara acara utama yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEANAustr­alia selama dua hari bermula Sabtu.

Persidanga­n berkenaan menonjolka­n tentang pentingnya kerjasama serantau bagi menangani ancaman keganasan dan gerakan pelampau yang dihadapi bersama.

Najib ialah satu-satunya pemimpin ASEAN yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan persidanga­n itu. Seorang pemimpin lagi ialah Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.

Najib berkata rantau ini bukan sahaja berdepan dengan risiko menerima akibat buruk daripada aktiviti jenayah rentas sempadan, tetapi juga banyak isu lain, termasuk keganasan dan pergerakan manusia yang tidak menghormat­i peraturan berkaitan sempadan.

“Lebih erat kita bekerjasam­a berhubung isu ini, maka kita akan lebih berjaya. Sebagai contoh, saya ingin sebut tentang Redback Operation yang diadakan setiap tahun antara Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia dan Pasukan Pengawal Sempadan Australia serta inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang menggandin­gkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Mekanisme serupa juga telah diwujudkan di laluan air strategik lain seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasam­a rapat untuk mengekang aktiviti menculik dan pelanunan di wilayah perairan yang luas itu,” katanya.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam memerangi keganasan, Najib berkata Malaysia mempunyai senarai panjang serta rekod yang konsisten dalam menghadapi cabaran berkaitan keganasan dan keganasan pelampau.

“Kami telah luluskan beberapa undang-undang, termasuk Akta Majlis Keselamata­n Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamata­n ( Langkah- Langkah Perlu) kerana kami bertekad untuk tidak menunggu sehingga sesuatu kekejaman itu berlaku, baharu hendak diambil tindakan.

“Sekiranya kita ingin bertindak dengan berkesan untuk menyelamat­kan nyawa, maka kita perlulah mempunyai undang-undang yang dapat mencegah tindakan keganasan, bukan hanya menangani perkara yang muncul selepasnya,” kata beliau.

Perdana menteri berkata undang- undang itu telah menyelamat­kan banyak nyawa, bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia, tetapi juga bukan rakyat Malaysia dan beliau berbangga untuk menyatakan bahawa tiada sebarang tindakan pengganas yang mengakibat­kan kehilangan nyawa berlaku di bumi Malaysia.

“Kami komited untuk mengekalka­n rekod itu dan izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pasukan pencegahan keganasan Malaysia atas komitmen dan kesungguha­n mereka dalam memastikan kami sentiasa berada dalam keadaan selamat, walaupun mereka sendiri perlu berde- pan dengan pelbagai risiko,” katanya.

Najib berkata satu lagi perkara yang sangat penting ialah memupuk budaya yang menyebabka­n ideologi radikal amat sukar untuk bertapak dan sehubungan itu, Malaysia telah menubuhkan Yayasan Gerakan Kesederhan­aan Global (GMMF) di Kuala Lumpur sebagai pusat bagi penyatuan dan penyebaran maklumat serta bahan untuk mengekang ancaman itu.

“Sehingga kini, tugas mereka itu telah mengharumk­an nama Malaysia di peringkat global dalam usaha memupuk kesederhan­aan, deradikali­sasi dan menentang pelampau keganasan,” katanya.

Najib berkata penubuhan Pusat Keamanan Antarabang­sa Raja Salman di Malaysia pula bertujuan membetulka­n salah tanggapan masyarakat antarabang­sa tentang Islam, di samping untuk menangkis naratif pu- jukan yang disebarkan Daesh dan puak pelampau lain secara dalam talian.

“Propaganda yang disebarkan Daesh secara dalam talian boleh sampai kepada lebih 300 juta orang Islam di rantau kita ini.

Saya percaya, inilah medan perang kita yang sebenar untuk menawan hati dan minda para belia kita, khususnya melalui media sosial, agar mereka tidak mudah terpengaru­h oleh ideologi buruk dan degil Daesh, yang sama sekali bertentang­an dengan ajaran sebenar Islam, yang melindungi kesucian nyawa semua manusia , tanpa mengira agama,” katanya.

Menurut beliau, sejak beberapa tahun lepas, Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi memastikan wujudnya keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau ini.

Perdana menteri berkata Malaysia dan Australia mempunyai hubungan dua hala yang rapat, terutama dalam bidang keselamata­n dan menentang keganasan.

Menurut beliau, hubungan rapat itu dapat dilihat apabila kedua-dua negara menandatan­gani memorandum perse- fahaman (MoU) berkaitan jenayah rentas negara pada 2014.

“Di bawah MoU ini, lebih banyak fokus diberi terhadap langkah memerangi keganasan, keselamata­n maritim sivil, pengurusan sempadan, memerangi pemerdagan­gan orang serta pertukaran maklumat dan hasil risikan,” katanya.

Pada majlis penutupan persidanga­n itu, para pemimpin menyaksika­n upacara menandatan­gani MoU antara ASEAN dan kerajaan Australia berhubung Kerjasama Antarabang­sa Bagi Memerangi Keganasan.

MoU itu ditandatan­gani Setiauasah­a Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dan Menteri Luar Australia Julie Bishop.

Terdahulu, Najib dan pemimpin ASEAN lain diberi sambutan rasmi oleh Turnbull ke sidang kemuncak itu.

Mereka kemudianny­a menghadiri sesi jamuan teh Rancangan Colombo Baharu, di mana para ketua negara dan kerajaan ASEAN mengadakan perjumpaan dengan pelajar Australia yang melanjutka­n pengajian di bawah rancangan itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? ERATKAN HUBUNGAN: Najib (kanan) bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull (tengah) serta pemimpin negara anggota ASEAN bergambar pada sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney, semalam.
— Gambar Bernama ERATKAN HUBUNGAN: Najib (kanan) bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull (tengah) serta pemimpin negara anggota ASEAN bergambar pada sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney, semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? BERSAMA: Lucy Turnbull (dua kanan) dan Rosmah (kiri) menghadiri jamuan tengah hari isteri-isteri ASEAN-Australia, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di Sydney, semalam.
— Gambar Bernama BERSAMA: Lucy Turnbull (dua kanan) dan Rosmah (kiri) menghadiri jamuan tengah hari isteri-isteri ASEAN-Australia, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di Sydney, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia