Utusan Borneo (Sarawak)

Pelajar keluarga B40 diberi keutamaan sekolah asrama penuh

-

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan kerajaan masih lagi memilih pelajar daripada keluarga kumpulan isi rumah berpendapa­tan rendah (B40) untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

Justeru, beliau menafikan dakwaan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan matlamat asas kerajaan dalam menyediaka­n sekolah berasrama penuh kini sudah tersasar dan tidak lagi menekankan bantuan kepada anak golongan miskin.

“Kerajaan masih lagi memilih pelajar daripada keluarga isi rumah B40 di bandar dan luar bandar dengan syarat kelulusan yang membolehka­n mereka berada di sekolah berasrama penuh,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeria­nnya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mengenai masalah salah laku pelajar di sekolah, Mahdzir berkata pihaknya telah mengambil pelbagai langkah antaranya dengan melaksanak­an Pentaksira­n Berasaskan Sekolah yang mengenal pasti prestasi pelajar bukan sahaja dari segi akademik tetapi aspek lain seperti sahsiah diri.

“Pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga menjalin kerjasama dengan pihak polis sebagai pihak pemantau bagi mengatasi masalah salah laku pelajar,” katanya.

Mahdzir berkata sepanjang 2017, jumlah salah laku dalam kalangan pelajar sekolah berunsur jenayah dicatatkan sebanyak 0.14 peratus; buli (0.06 peratus); berunsur kelucahan (0.05 peratus); kemusnahan (0.04 peratus) selain ponteng sekolah (1.4 peratus); kurang sopan (0.29 peratus); tidak pentingkan masa (0.28 peratus) dan kenakalan (0.12 peratus). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia