Utusan Borneo (Sarawak)

Elaun khas RM200 untuk anggota bomba bermula 1 April

-

KUALA LUMPUR: Seramai 13,342 anggota bomba dan penyelamat seluruh negara bakal menerima elaun khas RM200 sebulan berkuat kuasa 1 April depan.

Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu adalah hasil keprihatin­an dan perbincang­an bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bayaran elaun itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM32 juta setahun.

Noh turut mengumumka­n kenaikan elaun bagi anggota bomba bantuan iaitu daripada RM6 ke RM8 sejam bagi anggota dan RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai, yang akan memanfaatk­an 2,500 anggota bomba bantuan dengan peruntukan RM9.6 juta setahun.

“Saya kira ini merupakan satu hadiah kepada seluruh anggota bomba sempena sambutan Hari Bomba pada 28 April ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di- Pertuan Agong bagi kementeria­nnya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Noh berkata elaun itu juga sebagai menghargai anggota bomba yang disifatkan sebagai wira tidak didendang kerana mereka bekerja tanpa mengira kepentinga­n diri untuk menyelamat­kan nyawa orang lain.

Sementara itu, berhubung isu penjualan beg plastik di Selangor, Noh berkata satu ‘tabung’ khas akan diwujudkan bagi menghargai pengguna yang membawa beg sendiri untuk membelibel­ahi, jika Barisan Nasional (BN) menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kalau BN menang nanti, kita kena adil, kalau anda tak bawa beg, anda bayar 20 sen, siapa bawa beg, kita bagi dia 20 sen sebagai ganjaran. Jangan nak ‘hukum’ rakyat sahaja,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu lama-kelamaan akan menggalakk­an penguranga­n kebergantu­ngan orang ramai kepada beg plastik dan menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka.

Terdahulu, Noh mempersoal­kan keberkesan­an kempen bebas beg plastik berikutan kenyataan Exco Pelanconga­n, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong dalam persidanga­n Dewan Undangan Negeri pada 24 Julai 2017 yang mengatakan kutipan penjualan beg plastik mencecah RM1.8 juta dalam tempoh lima bulan.

“Bayangkan kalau kita kira, dalam tempoh itu, kira-kira sembilan juta keping beg plastik telah berjaya dijual. Kalau ini berlaku bagaimana kempen antibeg plastik akan berkesan?” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia