Utusan Borneo (Sarawak)

Calon- calon penjaga gol nombor satu England

-

BURTON-ON-TRENT: Hanya tiga bulan sahaja sebelum pertanding­an bola sepak Piala Dunia bermula di Rusia, pengurus England Gareth Southgate mengakui “jersi nombor satu menjadi rebutan” empat penjaga gol bagi perlawanan menentang Tunisia pada 18 Jun.

Penjaga gol Burnley, Nick Pope, memaksa diri diambil kira oleh Southgate dengan musim yang cemerlang dan merupakan sebahagian daripada sekumpulan empat penjaga gol untuk perlawanan persahabat­an terakhir England, sebagai persiapan untuk Piala Dunia, menentang Belanda esok (Jumaat) dan Itali pada 27 Mac sebelum Southgate memilih skuad Piala Dunia.

AFP Sports meneliti calon-calon untuk menjadi pemain nombor satu England di Rusia:

Joe Hart (West Ham)

Dia merupakan penjaga gol yang paling berpengala­man di antara empat penjaga gol dalam skuad Southgate dengan 74 penampilan bersama pasukan kebangsaan, tetapi kariernya sudah menurun sejak kejohanan besar terakhir England.

Hart melakukan kesilapan untuk memberikan gol kemenangan kepada Iceland ketika pasukan ‘Three Lions’ tersingkir pada peringkat 16 terakhir di Euro 2016, apabila kelemahann­ya yang biasa di sebelah kiri didedahkan oleh Kolbeinn Sigthorsso­n.

Walaupun disingkirk­an dari Manchester City oleh Pep Guardiola sejurus selepas ketibaan pengurus Catalan itu, Hart masih menjadi pemain nombor satu Southgate sewaktu pembabitan­nya yang tidak meyakinkan sebagai penjaga gol pinjaman di Torino dan West Ham.

Bagaimanap­un, selepas bermain dalam hanya satu sahaja daripada 16 perlawanan terakhir pasukan ‘The Hammers’ dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas digugurkan, Hart sedang berpaut pada jersi nombor satu dengan hujung jarinya.

Jordan Pickford (Everton)

Pickford mengalami musim pertama yang tidak konsisten di Everton selepas dia berhijrah dari Sunderland dengan bayaran 30 juta pound untuk menjadi penjaga gol England paling mahal dalam sejarah.

Bagaimanap­un, pada usia 24 tahun, masa memihak kepadanya. Walaupun membuat hanya satu sahaja penampilan antarabang­sa dalam keputusan seri 0-0 ketika menentang juara dunia Jerman pada November lalu, dia mempunyai banyak pengalaman antarabang­sa pada peringkat bawah 21.

Southgate, bekas pengurus bawah 21, menghargai pengalaman yang diperolehi dalam kejohanan remaja antarabang­sa dan menganggap Pickford dan pemain pertahanan Swansea Alfie Mawson sebagai “pemain menonjol” ketika England mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah Bawah 21 pada tahun lepas.

Jack Butland (Stoke City)

Jika tidak kerana kepatahan buku lali dahsyat yang dialaminya ketika England menang di Jerman hampir dua tahun lalu, Butland mungkin sudah menggantik­an tempat Hart untuk Euro 2016.

Sebaliknya Butland tidak kembali beraksi bersama pasukan utama sehingga April 2017 dan sejak itu membuat hanya dua sahaja penampilan bersama England, termasuk satu-satunya permulaan dalam perlawanan antarabang­sa kompetitif pada Oktober lalu.

Walaupun menjaringk­an gol sendiri yang mahal dalam keputusan seri 1-1 di Leicester pada bulan lepas, pengurus Stoke Paul Lambert melabel Butland sebagai “penjaga gol terbaik di Britain”.

Seperti Pickford, dia juga kaya dengan pengalaman antarabang­sa pada peringkat remaja, termasuk dua kejohanan Euro Bawah 21.

Nick Pope (Burnley)

Pope merupakan budak baharu pada peringkat antarabang­sa selepas musim yang cemerlang di kelab yang membuat kejutan dalam EPL, Burnley.

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui kelmarin bahawa dia tidak percaya dia akan dipilih untuk menyertai skuad England selepas dilepaskan oleh Ipswich Town ketika berusia 16 tahun dan menghabisk­an majoriti kariernya dalam liga bawah.

“Jika kita ada masalah dengan mana-mana penjaga gol kita yang lain, ia adalah penting bagi kita untuk tahu lebih lanjut tentang Nick, dan dari segi prestasi dia sewajarnya berada dalam skuad,” kata Southgate pada minggu lepas.

Ia seakan-akan membayangk­an bahawa kementahan Pope menjadikan­nya pilihan sokongan.

Namun dia adalah penjaga gol yang mempamerka­n prestasi cemerlang. Hanya penjaga gol Manchester United, David De Gea, yang dianggap ramai sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di dunia, memiliki peratusan menyelamat gawang yang lebih baik berbanding Pope pada musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia