Utusan Borneo (Sarawak)

Mohd Harrif puas hati menamatkan kemarau raih kedudukan podium LTdL

-

PEKAN: Pelumba pecut kebangsaan, Mohd Harrif Saleh puashati kerana berjaya menamatkan kemarau empat tahun untuk meraih kedudukan podium selepas menduduki tempat ketiga dalam peringkat keempat perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 di sini, semalam.

Beliau mencatat masa empat jam 10 minit dan 14 saat pada perlumbaan sejauh 183.8km dari Dataran Dewan Merdeka, Dungun ke Dataran Pekan, di sini, sekaligus muncul selaku pelumba terbaik Malaysia.

Untuk rekod, kali terakhir Mohd Harrif menaiki podium adalah pada LTdL 2012 dengan menyaksika­n beliau menduduki tempat kedua di belakang pelumba Itali, Andrea Guardini pada peringkat kelapan sejauh 100.8km dari Pekan ke Chukai.

“Bagi saya, kejayaan ini adalah satu kepuasan untuk diri saya setelah kali terakhir naik podium dalam LTdL pada 2012 dan walaupun gagal menjuarai perlumbaan hari ini, saya berpuashat­i dengan keputusan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan berkenaan.

Mohd Harrif yang pernah meraih kedudukan podium dalam beberapa edisi terdahulu, mendedahka­n laluan perlumbaan hari ini agak mencabar selain beberapa pelumba cuba melakukan pemisahan ( breakaway) dalam beberapa kilometer menuju ke garisan penamat.

Beliau yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada masa sama menjelaska­n beliau akan cuba membantu rakan sepasukann­ya untuk meraih kedudukan podium pada peringkat kelima, esok sejauh 169.4km dari Bentong ke Cameron Highlands.

Peringkat kelima yang dikenali sebagai ‘queen stage’ menampilka­n tiga zon pecutan di Sungai Koyan, Cheroh dan Raub sebelum disusuli dengan satu zon pendakian setinggi 1,105 meter dari aras laut di Ringlet.

Seorang lagi pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie pula optimis untuk mengekalka­n jersi Putih yang dimenangi selepas peringkat ketiga semalam sambil tidak memandang mudah cabaran dari pelumba pasukan Jelajah Profesiona­l Dunia (World Tour teams) menjelang peringkat kelima, hari ini.

“Saya tengok kaki saya macam mana.” Kalau kuat, saya akan cuba memberikan saingan kepada pelumba lain.

“Astana Pro Team umpamanya ada seorang pakar pendakian dan saya akan cuba memerhatik­an pergerakan beliau,” jelas Nik Mohd Azwan yang beraksi untuk pasukan benua Malaysia, Forca Amskins Racing. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia