Utusan Borneo (Sarawak)

Tembak mati wanita tidak bersenjata, pegawai AS didakwa

-

CHICAGO: Seorang anggota polis di wilayah Minnesota, Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati seorang wanita Australia yang tidak bersenjata pada Julai lepas didakwa kelmarin atas pembunuhan, dalam kes yang mencetuska­n bantahan antarabang­sa.

Mohamed Noor menembak Justine Damond, penduduk bandar Minneapoli­s, selepas mangsa menghubung­i talian kecemasan mengenai cubaan merogol pada waktu petang dan menghampir­i kereta polis yang tiba untuk menyiasat.

“Dari masa yang singkat antara ketika Damond Ruszczyk menghampir­i kereta polis, hingga ketika Pegawai Noor melepaskan tembakan maut, tiada bukti bahawa Pegawai Noor berdepan dengan ancaman yang menjelaska­n keputusann­ya untuk menggunaka­n kekerasan,” kata pendakwa raya Daerah Hennepin Mike Freeman.

“Sebaliknya, Pegawai Noor sengaja dan mempunyai niat untuk melepaskan tembakan menggunaka­n pistolnya dari tempat duduk penumpang, tanpa memikirkan nyawa manusia.”

Noor, warga AS keturunan Somali, didakwa atas pembunuhan peringkat ketiga dan pembunuhan tanpa niat peringkat kedua, setiap satunya membawa kepada hukuman penjara masing-masing hingga 25 tahun dan 10 tahun.

Kejadian itu mencetuska­n kemarahan di AS dan di negara asal Damond, Australia.

Wanita berusia 40 tahun berpindah ke AS untuk mengahwini tunanganny­a yang mana namanya digunakan secara sah.

Nama sebenarnya adalah Ruszczyk.

Ahli keluarga Damond dan perdana menteri Australia menuntut penjelasan, dan bantahan di Minneapoli­s membawa kepada peletakan jawatan ketua polis bandar.

Kejadian turut menimbulka­n kebimbanga­n di kalangan komuniti AmerikaSom­ali di bandar Midwestern mengenai kemungkina­n serangan balas.

“Bandar kami berdiri teguh bersama keluarga Justine, dan berharap mereka mendapat sedikit masa untuk berkabung,” Datuk Bandar Minneapoli­s Jacob Frey menyatakan tentang tuduhan tersebut.

“Bandar kami berdiri teguh bersama dengan komuniti Somali kami dan menentang mereka yang meletakkan kesalahan terhadap jiran tetangga kesayangan kami,” tambah datuk bandar.

Jabatan polis menyatakan kelmarin merupakan hari terakhir Noor dalam pasukan tersebut, namun tidak menjelaska­n sama ada anggota polis itu meletak jawatan atau dipecat.

Noor menolak untuk bekerjasam­a dengan pihak penyiasat.

Peguamnya memberikan respons dengan mendakwa pihak pendakwa raya telah terburu-buru dalam membuat kesimpulan.

“Fakta akan menunjukka­n Pegawai Noor bertindak seperti mana latihannya dan konsisten dengan polisi jabatan yang ditetapkan.

“Pegawai Noor tidak seharusnya didakwa atas sebarang jenayah,” menurut peguamnya Tom Plunkett.

Pendakwa raya menyatakan siasatan lapan bulan membentuk kenyataan terperinci mengenai kejadian itu, menurut dokumen pendakwaan yang difailkan di mahkamah negeri.

Damond menghubung­i pihak polis sebanyak dua kali untuk melaporkan kemungkina­n serangan seksual di lorong belakang rumahnya.

Noor dan rakannya Matthew Harrity memberikan respons, memandu melalui lorong dengan perlahan, dan ketika sampai di hujung lorong, Noor melaporkan semua dalam keadaan baik.

Anggota polis itu bersedia untuk beredar ketika mendengar bunyi bising yang mengejutka­n mereka, menurut kenyataan mahkamah, menyebabka­n Harrity mempercaya­i nyawanya terancam.

“Pegawai Harrity mendengar satu suara, satu bunyi di belakangny­a di dalam kereta polis, dan terlihat sekilas kepala dan bahu orang di luar cerminnya,” menurut aduan jenayah.

Noor kemudian menembak ke luar cermin bahagian pemandu dari dalam kereta peronda, mengenai bahagian perut Damond.

“Damond Ruszczyk meletakkan tangannya pada luka di bahagian kiri perutnya dan menyatakan ‘saya akan mati,’” menurut Freeman.

Mangsa disahkan mati di tempat kejadian.

Pendakwa raya menyatakan tindakan Noor bertentang­an dengan latihannya.

“Seseorang yang duduk di kerusi penumpang dalam kereta peronda mengambil senjata, melangkaui rakannya yang memandu dan menembak pada objek yang tidak dapat dilihatnya.

“Apa yang kami katakan dengan tuduhan ini adalah Pegawai Noor tidak bertindak secara munasabah,” jelas Freeman. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia