Utusan Borneo (Sarawak)

Peniaga dipenjara empat tahun miliki 27 majalah berkaitan pengganas

-

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana memiliki 27 naskhah majalah yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhka­n hukuman itu ke atas Jailani Jurimi, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Dalam penghakima­nnya, Mohd Sofian berkata Jailani bernasib baik kerana pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan yang memperuntu­kkan hukuman lebih ringan iaitu penjara maksimum tujuh tahun berbanding pertuduhan asal yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun.

“Mahkamah berpendapa­t kamu telah diberi peluang kedua untuk memperbaik­i diri kamu. Dan apabila kamu selesai menjalani hukuman penjara, (diharap) kamu akan jadi rakyat yang berguna pada negara. Daripada penelitian barang-barang kes terutama jilid-jilid majalah yang begitu tebal, mengandung­i rencana dan gambar dan sekiranya dibaca, ia boleh membakar semangat ingin menyertai kumpulan Daesh.

“Kamu bernasib baik tidak sampai ke tahap itu (menyertai kumpulan Daesh), lebih baik baca bahan berilmiah yang berfaedah daripada baca bahan berkaitan Daesh,” kata hakim itu yang memerintah­kan Jailani menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pilihan, Jailani didakwa memiliki 15 naskhah majalah Dabiq, 10 naskhah majalah Rumiyah dan dua naskhah majalah Waislama yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya di Bilik Kawalan Terminal TCO, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor, pada 5.30 petang, 7 Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Terdahulu Jailani berdepan pertuduhan asal iaitu dengan pengetahua­n telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara memiliki bahan berkaitan kumpulan itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 130J(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia