Utusan Borneo (Sarawak)

KD Mahameru tiba di lokasi kapal korek pasir bantu SAR

-

MUAR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mahameru tiba di lokasi kapal korek pasir yang tenggelam, pagi semalam bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 14 kru kapal yang masih hilang.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata KD Mahameru tiba dari Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak pada jam 7 pagi semalam dan telah memulakan kerja-kerja mengepam udara ke dalam kapal berkenaan.

“KD Mahameru tiba di lokasi kejadian pada 7 pagi semalam dengan kekuatan anggota lebih 100 orang selain 23 anggota penyelam profesiona­l daripada TLDM dan lapan orang penyelam profesiona­l persendiri­an selain bantuan APMM.

Kerja-kerjamenge­pamudara ke dalam kapal sedang berjalan bagi mengapungk­an kapal berkenaan dan memudahkan anggota penyelam melakukan kerja-kerja menyelamat,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan SAR Pantai Leka, di sini, semalam.

Katanya, cabaran pada ketika ini adalah keadaan ombak laut yang bergelora yang menyukarka­n kerja- kerja menyelam dilakukan.

“Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan kita harap apabila kita pam udara masuk ini, penyelam akan dapat masuk dengan mudah ke dalam kapal berkenaan dari bahagian bawah.

“Usaha mengikat tali pada kapal berkenaan di bawah permukaan laut juga turut dilakukan bagi memastikan kapal korek berkenaan kekal stabil berikutan keadaan laut yang berombak,” katanya.

Pada kejadian pagi kelmarin, seramai 18 kru kapal korek pasir dipercayai milik sebuah syarikat dari China berdepan dengan detik cemas apabila kapal mereka terbalik.

Tiga kru terselamat, seorang ditemui lemas manakala 14 lagi dikhuatiri hilang dan dipercayai terperangk­ap dalam badan kapal berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia