Utusan Borneo (Sarawak)

Hilton yakin dengan pasaran pelanconga­n Pulau Pinang

-

GEORGE TOWN: Hilton, jenama hotel global, yakin dengan sektor pelanconga­n Pulau Pinang susulan pembukaan DoubleTree Resort pertamanya di negara ini di kawasan popular pelancong di Batu Ferringhi.

Pengurus Besar DoubleTree Resort, Linda Giebing, berkata sejak hotel itu memulakan operasi pada Januari tahun ini, kadar penghunian­nya adalah sangat baik.

“Kami menawarkan 316 bilik, kemudahan persidanga­n dan acara, dewan utama yang boleh menampung sehingga 550 orang serta tiga ruang fungsi yang merangkumi kawasan seluas lebih daripada 5,000 kaki persegi.

“Kami yakin komuniti tempatan dan para tetamu kami pasti akan tertawan dengan standard hospitalit­i terkenal kami CARE – “Creating A Rewarding Experience”,” katanya semasa ditemui di selepas previu media mengenai hotel itu, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengurus Besar Wilayah Hilton Malaysia, Jamie Mead.

DoubleTree Penang yang bernilai RM230 juta itu merupakan hartanah keempat jenama tersebut di Malaysia, selepas DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Melaka.

Giebing berkata DoubleTree Resort Penang juga menampilka­n daya tarikan pelanconga­n istimewa, Teddyville, muzium dan galeri bertemakan ‘ teddy bears’ pertama Malaysia yang terletak di bangunan itu.

Beliau berkata muzium seluas 9,000 kaki persegi itu akan mempamerka­n kirakira 1,000 anak patung teddy bears.

“Tetamu hotel layak mendapat potongan diskaun bagi memasuki muzium itu,” katanya sambil menambah bayaran masuk ke Teddyville adalah sebanyak RM36 bagi dewasa dan RM25 bagi kanak-kanak, manakala tetamu hotel boleh menikmati kadar istimewa iaitu RM27 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia