Utusan Borneo (Sarawak)

JEL 80 TAHUN

Tukang kebun rogol gadis OKU, lakukan jenayah seks turut dihukum 18 sebatan.

- Oleh Jeremy Lanson

KUCHING: Seorang tukang kebun sebuah sekolah rendah di Bau tidak menunjukka­n sebarang reaksi selepas dijatuhkan hukuman penjara selama 80 tahun dan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana melakukan kesalahan rogol bawah umur dan jenayah seks terhadap kanak-kanak.

Motis Juwel, 56, dari Kampung Opar Bau, yang mengaku bersalah terhadap semua tuduhan, kelihatan tenang dan mengangguk­kan kepala ketika hukuman dibaca oleh Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, berkata dia faham dan mengaku bersalah terhadap semua tuduhan walaupun terdahulu dia mendakwa hubungan seksual di antaranya dan gadis terbabit adalah atas dasar suka sama suka.

Dia melakukan kesalahan itu ke atas gadis kelainan upaya (OKU) terbabit yang kini berusia 14 tahun sebanyak empat kali, sekali sekitar Mei 2016 kira-kira jam 10 pagi, dan tiga kali antara Januari dan bulan ini.

Mahkamah mensabit kesalahan ke atasnya terhadap empat pertuduhan merogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, dan bagi setiap pertuduhan, dia menerima hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan.

Bagi dua pertuduhan lain, dia memaksa gadis itu untuk melakukan hubungan seks dengan rakan sekelasnya sementara dia melihat mereka melakukan persetubuh­an.

Bagi kesalahan itu, dia disabit kesalahan atas dua tuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan menerima hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.

Semua insiden itu berlaku dalam sebuah stor di sekolah rendah terbabit.

Hakim Dayang Ellyn mengarahka­n hukuman penjara berkuat kuasa sertamerta.

Dalam rayuannya agar hukuman diringanka­n, Motis memberitah­u mahkamah dia merupakan penyara tunggal keluargany­a dengan dua anak, seorang di universiti dan seorang lagi di sekolah rendah.

Dia juga perlu menjaga isterinya yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan memerlukan perhatian perubatan setiap minggu.

Sementara itu, DPP Haresh Prakash menggesa mahkamah untuk mengenakan hukuman berat ke atas Motis memandangk­an kesalahann­ya serius.

“Tertuduh sepatutnya menjaga kanak-kanak terbabit tetapi sebaliknya dia mengambil kesempatan ke atas mangsa.

“Tertuduh juga tidak harus dikecualik­an daripada sebatan bagi kesalahan yang dilakukan walaupun dia berusia lebih 50 tahun,” kata Haresh dan memberitah­u di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, pesalah lelaki berusia 50 tahun dan ke atas juga harus disebat.

Seksyen 25 akta tersebut menyatakan pengecuali­an bagi sebatan terhadap pesalah lelaki berusia melebihi 50 tahun, seperti yang diperuntuk­kan di bawah Kanun Prosedur Jenayah, tidak akan diguna pakai.

Ketika menjatuhka­n hukuman, hakim berkata mentaliti tertuduh yang tidak terkata itu menuntut tempoh pengasinga­n yang lama daripada masyarakat.

“Tertuduh bukan sahaja menyalahgu­nakan kedudukann­ya sebagai pekerja sekolah tetapi turut mengambil kesempatan ke atas pelajar khas yang merupakan OKU (orang kelainan upaya).

“Mengambil kira kekerapan kesalahan ini yang membimbang­kan dan untuk menghalang pesalah lain yang berfikiran sama, saya mensabitka­n kesalahan ke atas tertuduh bagi semua pertuduhan yang dikenakan terhadapny­a,” ujarnya.

Kes itu terbongkar selepas seorang tukang cuci di sekolah terbabit mendamping­i gadis berkenaan selepas melihat mangsa sering keluar masuk dari stor bersama tertuduh.

Gadis itu memberitah­u apa yang berlaku dan guru sekolah turut dimaklumka­n dan kemudian laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

Mangsa berkata tertuduh merogolnya, dan kemudian turut memaksa pelajar lelaki terbabit untuk merogolnya di hadapan tertuduh.

 ??  ?? KE PENJARA: Motis dibawa keluar dari bilik mahkamah oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan, semalam.
KE PENJARA: Motis dibawa keluar dari bilik mahkamah oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia