Utusan Borneo (Sarawak)

PPIS berperanan bantu ahli pasar produk pertanian

-

SIBU: Pertubuhan Pertanian Iban Sarawak (PPIS) yang baharu ditubuhkan di negeri ini berperanan penting untuk membantu ahli-ahlinya memasarkan produk pertanian mereka.

Setiausaha Rasmi dan Pegawai Am PPIS Rahimzul Helmie Rahman berkata, produk yang dipasarkan ialah seperti sayuran, buah-buahan dan hasil pungutan hutan ke pasaran tempatan.

“Selain itu, kami turut memberi khidmat nasihat tentang cara-cara memasarkan produk pertanian serta tunjuk ajar dalam proses penanaman sayur dan buah-buahan.

“PPIS juga akan menjadi pengantara dengan pihak Jabatan Pertanian Malaysia, FAMA, MARDI dan Jabatan Perkhidmat­an Veterinar untuk mengikuti pelbagai kursus berkenaan produk pertanian,” ujarnya kepada Utusan Borneo selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankua­sa (AJK) PPIS di Pejabat Pertanian Bahagian Sibu di Wisma Sanyan, semalam.

M e s y u a r a t i t u dipengerus­ikan oleh Yang diPertua PPIS Bari Ubi.

Pada mesyuarat AJK itu, Bari turut menyampaik­an sijil pelantikan tugas kepada sebanyak 15 ahli yang dipilih memegang jawatan di peringkat AJK pusat.

Mereka yang dipilih ialah Tuai Rumah Bluda @ Beluda Nabauk sebagai Timbalan Yang di-Pertua PPIS, Tuai Rumah Michael Sumping (Naib Yang di-Pertua), Jocky Jim Ungka (Setiausaha Agung), Tuai Rumah Donny Kujat (Timbalan Setiausaha Agung), Rahimzul Helmie Rahman (Setiausaha Rasmi dan Pegawai Am), Katerina Kujat (Ketua Biro Wanita), Marlina Saing (Exco Biro Wanita), Bansa Ugek ( Bendahari Agung) manakala Tuai Rumah Minggu Laga, Tuai Rumah Alexander Lutang Badinda dan Bayang Asat sebagai Exco Penyelaras Projek PPIS.

Rahimzul berkata, dengan adanya platform ini masyarakat yang menjadikan kerjaya pertanian sebagai sumber pencarian utama akan dapat dibantu.

“Ini kerana kami akan membantu membeli sayur berkenaan daripada ahli yang berdaftar.

“Saya juga akan membuat usul pada mesyuarat AJK pusat agar mereka membuka satu cawangan di bandar Lawas iaitu tempat kelahiran saya agar hasil tanaman tersebut dapat dibawa masuk dan dijual di negara jiran iaitu Brunei,” tambahnya.

Menyentuh lanjut mengenai pergerakan PPIS, Rahimzul memberitah­u pada 28 Mac ini PPIS dengan kerjasama Syarikat Empire Agrotech, Husbandry & Food Industries akan mengadakan Seminar Kerjaya Pertanian 2018 bertempat di UTC Sibu.

Jelasnya, seminar tersebut penting kepada ahli-ahli yang ingin memajukan diri dalam bidang pertanian.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Pengarah Syarikat Empire Agrotech, Husbandry & Food Industries Jocky Jim Ungka yang turut menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung PPIS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia