Utusan Borneo (Sarawak)

JCI jemput penyertaan bagi TOYM 2018

-

SIBU: Belia cemerlang di Sarawak dijemput bagi menyertai Anugerah Belia Cemerlang Malaysia (TOYM) 2018 anjuran Junior Chamber Internatio­nal Malaysia (JCI).

Bekas Presiden JCI Malaysia Joseph Cheng percaya ramai belia cemerlang di Sarawak yang boleh dicalonkan bagi anugerah tersebut.

“TOYM diperkenal­kan JCI Malaysia pada 1985, namun pencalonan atau penyertaan belia dari Sarawak masih kurang,” ujarnya pada sidang media mengenai TOYM, kelmarin.

Hadir sama Presiden JCI Malaysia Kelvin Chew, pengerusi penganjur TOYM Nicholas Koay serta ahli-ahli JCI yang lain.

Menurut Chieng, kurangnya penyertaan itu mungkin disebabkan pemikiran kolot atau kerana tidak mahu menunjuk-nunjuk dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mahu pemikiran seperti itu dihapuskan dan berharap lebih banyak pencalonan belia Sarawak bagi TOYM diterima pada tahun ini.

“Saya percaya di Sabah dan Sarawak ramai belia yang cemerlang dan berjaya yang boleh dicalonkan bagi anugerah ini,” jelasnya.

Tiga anak Sibu yang pernah memenangi anugerah ini ialah Dr Toh Teck Hock (2010), Datuk Andrew Wong (2016) dan Eddy Phua Teik Chai (1995).

Sementara pemenang anugerah ini yang terkenal ialah Datuk Lee Chong Wei, Datuk Calvin Khiu Fu Siang, Datuk Edmund Santhara, Datuk Adeline Leong Nee dan Gary Chaw.

Pencalonan bagi TOYM dibuka bermula 1 Februari lepas dan tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai.

Dengan tema ‘Youth Impact, Youth Can Do It’, anugerah ini terbuka kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun yang mempunyai pencapaian cemerlang atau banyak memberi sumbangan kepada masyarakat.

Untuk maklumat lanjut dan pencalonan, layari laman sesawang www.toym.org.my.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia