Utusan Borneo (Sarawak)

609,586 pemilih berdaftar direkodkan di Negeri Sembilan

-

SEREMBAN: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) merekodkan sejumlah 609,586 pemilih berdaftar di Negeri Sembilan setakat Suku Tahun Keempat 2017, berbanding 556,583 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengarah SPR Negeri Sembilan Afizam Abdullah Sani berkata daripada jumlah itu, Parlimen Seremban direkodkan memiliki jumlah pemilih tertinggi iaitu 114,752 pemilih, diikuti Rasah (99,040), Rembau (88,548), Telok Kemang (75,381), Jempol (72,264) dan Tampin (61,026).

Ia diikuti Parlimen Kuala Pilah dengan 49,941 pemilih dan Jelebu (48,634), menyaksika­n pertambaha­n mencapai lebih kurang 100,000 pengundi, katanya.

“Sebanyak 316 pusat mengundi yang terdiri daripada dua kategori iaitu pusat mengundi biasa merangkumi premis seperti sekolah, balai raya dan sebagainya untuk pengundi awam.

“Satu lagi ialah pusat mengundi awal iaitu untuk pengundi seperti polis, tentera, PGA ( Pasukan Gerakan Am) iaitu sebanyak 38 pusat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Afizam berkata kesemua 316 pusat pengundian itu melibatkan 1,124 saluran pengundian manakala 38 pusat pengundian awal melibatkan sejumlah 57 saluran.

“Bagi petugas seperti pengamal media, mereka bukanlah pengundi awal tetapi pengundi secara pos...mereka tak termasuk dalam pengundian biasa atau pengundian awal dan tarafnya adalah sebagai pengundi tidak hadir bagi yang bertugas ketika pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata untuk mengundi secara pos, pemilih perlu memohon dan tidak boleh dilaksana secara terus walaupun pada PRU13 dia telah mengundi pos.

Seramai 10,000 petugas akan bertugas pada PRU14 di Negeri Sembilan selain menjalinka­n kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan proses penamaan calon dan pengundian berjalan lancar.

Mengulas mengenai kempen undi rosak yang dijalankan pihak tertentu untuk PRU14, Afizam berkata pengundi perlu keluar mengundi tanpa rasa takut dan ragu-ragu.

“Kita yang nak tentukan masa depan negara dan negeri ini keluarlah mengundi, jangan takut tak ada apa yang tak selamat. Polis pun ada bertugas pada hari itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia