Utusan Borneo (Sarawak)

Gabon tumpas ketika Auba berkabung

-

JOHANNESBU­RG: Penyerang Arsenal yang sedang bersedih, Pierre- Emerick Aubameyang, tidak bermain ketika Gabon tewas 4- 2 dalam penentuan tendangan penalti kepada pasukan tuan rumah Thailand kelmarin selepas keputusan seri 0-0 dalam perlawanan separuh akhir bagi satu kejohanan di Bangkok.

Pemain berusia 28 tahun yang dibeli dari Borussia Dortmund itu menarik diri daripada skuad ‘The Panthers’ pada minit akhir selepas neneknya meninggal dunia di Sepanyol.

Dalam satu penghormat­an media sosial yang menyentuh hati, Pemain Bola Sepak Terbaik Afrika 2015 Aubameyang berkata: “Anda memberi saya kasih sayang yang begitu banyak, anda mengajar saya begitu banyak perkara. Saya bercakap bahasa Sepanyol kerana anda. Saya bangga menjadi anak kecil anda. Satu ciuman terakhir untuk mengucapka­n selamat jalan kepada anda.”

Gabon juga bermain tanpa pemain pertahanan Bruno Ecuele Manga dan pemain sayap Denis Bouanga, yang memilih untuk memberi tumpuan kepada karier kelab di Eropah.

Pasukan tengah Afrika itu bermula dengan buruk dalam penentuan tendangan penalti di hadapan 25,000 penonton apabila penjaga gol Thai menyelamat­kan dua tendangan penalti mereka yang pertama.

Thailand dibimbing oleh Milovan Rajevac dari Serbia, yang melatih Ghana untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Gabon akan menentang Emiriah Arab Bersatu esok (Ahad) untuk tempat ketiga sebelum Thailand bertemu dengan Slovakia dalam perlawanan akhir.

Algeria ternyata bukan tempat memburu yang menggembir­akan bagi Tanzania, selepas lawatan terbaharu mereka menghasilk­an kekalahan 4-1 dalam perlawanan persahaba- tan di Algiers.

Kali terakhir Tanzania bermain di negara utara Afrika itu, mereka dimalukan 7-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Blida.

Selepas dibolosi satu gol awal, Tanzania menyamakan kedudukan menerusi Shiza Kichuya tetapi ketinggala­n 2-1 pada waktu rehat apabila Shomari Kapombe menjaringk­an gol sendiri.

Carl Medjani meletakkan Algeria dua gol di hadapan manakala Baghdad Bounedjah menjaringk­an gol keduanya dalam perlawanan itu untuk melengkapk­an kemenangan yang meyakinkan.

Cyrille Bayala dan Aristide Bance menjaringk­an gol dalam tempoh tiga minit pada separuh masa pertama untuk memberikan kemenangan 2-0 kepada Burkina Faso ke atas Guinea-Bissau di Perancis.

Kevin Bru dari kelab divisyen dua di England, Ipswich Town, melakukan jaringan selepas 18 minit apabila Mauritius menang 1-0 di Macau. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia