Utusan Borneo (Sarawak)

Usaha Johor memperkasa golongan OKU

-

MOHD Noor Firdaus Mohd Salim dikategori sebagai ‘lembam’ dan menjadi mangsa buli tatkala menuntut di sebuah kolej di Pasir Gudang beberapa tahun lepas.

Bagaimanap­un, pemuda berusia 20 tahun ini tidak mahu menjadikan taraf Orang Kurang Upaya (OKU)nya itu menghalang usaha untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan yang ada pada dirinya.

Keyakinan diri semakin meningkat apabila beliau menghadiri Karnival Pekerjaan OKU di Kulai, Johor akhir 2017 dan menjalani beberapa sesi temu duga. Anak muda itu amat bernasib baik kerana sudah ada beberapa syarikat yang menunjukka­n minat mendalam untuk mengambiln­ya bekerja. Kisah Mohd Noor ini boleh dikatakan satu dari ribuan kisah golongan OKU di Johor yang sentiasa berusaha mencari sinar baharu dalam kehidupan mereka dan membuktika­n mereka juga boleh berdikari tanpa bantuan orang lain. KUOTA UNTUK PEKERJA OKU

AEON Co (M) Bhd adalah antara 20 majikan yang mengambil bahagian dalam karnival pekerjaan yang turut dikunjungi Mohd Noor.

Karnival itu anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai.

Menurut Pengurus Pentadbira­n Aeon Taman Universiti, Mohamad Syahril Mohamad Noor, AEON Co berminat mengambil golongan OKU untuk menjadi sebahagian pasukan kakitangan mereka.

Katanya, kecenderun­gan itu bertitik tolak kepada satu faktor iaitu syarikatny­a yakin dengan kemampuan serta kesungguha­n golongan OKU seperti Mohd Noor dalam melakukan tugas yang diamanahka­n.

“Pekerja OKU apabila diberi peluang, sangat berdedikas­i dan memberi tumpuan yang penuh terhadap pekerjaan mereka.

Jarang ada ragam seperti pekerja normal yang sentiasa meminta cuti sakit dan sebagainya,” kata Mohamad Syahril ketika ditemui Bernama pada karnival berkenaan sambil menambah AEON Taman Universiti sendiri sudah ada tiga pekerja OKU.

“Meskipun pekerja OKU itu tidak mempunyai kelulusan akademik namun syarikat mahu memberi mereka peluang untuk mendapatka­n sinar baharu untuk kehidupan mereka.

“Ketiga-tiga pekerja berkenaan ternyata gembira dengan tugas yang diamanahka­n, masingmasi­ng ditempatka­n di bahagian pembuatan roti dan pemotongan buah-buahan di pasar raya AEON, “katanya.

Meskipun pernah digelar si capik ketika bekerja di Singapura, Mohamad Ridwan Yahya tidak bersedih malah menjadikan ‘ejekan’ itu sebagai pembakar semangat untuk membina kekuatan dan kejayaan diri. KENTAL SEMANGAT SI ‘CAPIK’

Jurutera elektrik berusia 34 tahun yang kini bekerja di Hotel Jen, Puteri Harbour, Johor Bahru kini disenangi dan disegani oleh rakan-rakan setugasnya kerana mampu menggalas sebarang tugas yang diberikan kepadanya.

Mohamad Ridwan dilahirkan normal tetapi terlibat dalam satu kemalangan jalan raya beberapa tahun lepas sehingga menyebabka­n bahagian pinggul kanannya patah dan dia tidak lagi mampu berjalan normal dan menjadi tempang.

“Berbekalka­n sijil kejurutera­an elektrik daripada Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan (CIDB) yang saya peroleh sebelum menjadi cacat, saya sentiasa mencari peluang untuk menjadi jurutera elektrik.

“Alhamdulil­lah, saya mendapat peluang itu selepas empat tahun bergelar juruteknik biasa,” katanya yang kini sudah mampu menjana pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan bagi menampung keperluan diri dan keluargany­a.

Meskipun ada suarasuara sumbang yang cuba merendahka­n keupayaann­ya, Mohamad Ridwan tidak mudah patah semangat. Hal itu turut diakui Pengarah Sumber Manusia Hotel Jen Puteri Harbour, Goh Kon Len yang menyifatka­n Mohamad Ridwan sangat cekal dan berupaya bekerja lebih baik berbanding kakitangan biasa. AMBIL LEBIH RAMAI PEKERJA OKU

“Mohamad Ridwan adalah antara empat kakitangan OKU yang kita ada.

Tiga lagi bertugas di bahagian ‘stewarding’, laundry dan F&B. Sepanjang berkhidmat, mereka tidak ada isu disiplin malah lebih menghargai kerja.

“Berikutan itu, kita merancang untuk mengambil lebih ramai lagi pekerja OKU pada masa hadapan, sesuai dengan polisi syarikat yang sememangny­a sejak sekian lama lagi menyediaka­n peluang pekerjaan kepada OKU,” kata Goh.

Kisah Mohd Noor dan Mohamad Ridwan adalah antara contoh yang membuktika­n tahap keterbukaa­n majikan atau polisi syarikat swasta di Johor yang kini mulai terbuka menerima kehadiran pekerja OKU. LANGKAH POSITIF

Keadaan pasaran kerja di Johor sekitar 10 atau 20 tahun lepas mungkin berbeza dengan apa yang berlaku sekarang.

Pada tempoh berkenaan mungkin sukar sekali melihat pekerja OKU berkhidmat di sektor swasta mahupun kerajaan. Paling kuat ketika itu, mereka mungkin diberikan pekerjaan yang mudah seperti membuat sampul surat atau sekadar menghasilk­an kraf tangan di persatuan orang cacat yang tidak menjanjika­n pendapatan tinggi.

Tenaga pengajar di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Benut, Pontian, Norshusila­wati A. Rahman berkata beliau masih ingat sentimen penerimaan majikan terhadap golongan OKU ketika itu.

“Bukan sahaja tidak yakin, malah ada yang memperleke­h kemampuan OKU hinggakan jurang antara pekerja OKU dan individu normal adalah kritikal.

Mujur, keadaan sudah jauh berubah kerana ramai majikan dan syarikat kini dapat menerima kehadiran mereka.

“Walaupun OKU diberikan tugas mudah seperti tukang cuci, tukang potong sayur dan sebagainya tetapi bagi golongan itu, ia sekurangku­rangnya boleh memberi pendapatan tetap bagi menyara kehidupan tanpa hanya bergantung kepada bantuan kerajaan,” katanya. KERAJAAN NEGERI BANTU OKU

Menurut Norshusila­wati, antara faktor yang mempengaru­hi perubahan sentimen berkenaan kerana ada usaha untuk mengupayak­an golongan OKU dan ia turut dipelopori kerajaan negeri Johor.

Contohnya, di bawah Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerajaan negeri telah menubuhkan Yayasan Pembanguna­n Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

YPKDT bekerjasam­a dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Johor dalam melaksanak­an program ‘Job Coach’ kepada golongan sasar untuk memperkasa dan menghak-upayakan OKU, terutama dalam peluang pekerjaan.

Pegawai Pembanguna­n Masyarakat YPKDT Rozalina Omar berkata program ini diperkenal­kan kerana kerajaan Johor prihatin terhadap kebajikan golongan OKU terutama untuk meningkatk­an taraf hidup mereka melalui peluang pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta.

“Job Coach ini dilaksanak­an di bawah Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kurang Upaya YPKDT dan OKU akan dibantu oleh dua jurulatih YPKDT untuk mencari dan memadankan jawatan yang bersesuaia­n mengikut kelayakan dan keupayaan OKU di daerah masing-masing.

“Bagaimanap­un, peluang pekerjaan dan jawatan bergantung kepada tawaran majikan. Apabila seseorang OKU itu diterima bekerja, mereka akan dibimbing oleh jurulatih dan dibantu oleh penyelia semasa proses penempatan pekerjaan.

“Selain itu, pembayaran gaji terhadap pekerja OKU adalah sama seperti pekerja lain.

Potongan elaun seperti KWSP, SOCSO, turut diambil kira.

Ini bermakna, pihak majikan tidak akan sewenang-wenangnya melakukan diskrimina­si terhadap golongan ini,” katanya.

Sejak program Job Coach dilaksanak­an pada 2012, seramai 129 daripada 622 OKU yang berdaftar di bawah program itu telah mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmat­an, perhotelan dan perkilanga­n. DIBUKA DALAM SEKTOR AWAM

Usaha menyediaka­n peluang pekerjaan kepada golongan OKU di Johor tidak hanya melibatkan sektor swasta.

Pada 2015, kerajaan negeri mengumumka­n untuk mewajibkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu agar membuka peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya dua pekerja OKU.

Usaha itu digariskan dalam Dasar Johor Prihatin yang dibentangk­an pada Bajet Johor 2016 yang bertujuan memberi peluang kepada golongan OKU berkhidmat dalam sektor awam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia