Utusan Borneo (Sarawak)

PKNS mahu tiga syarikat program usahawan tersenarai di Bursa Malaysia

-

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berharap tiga syarikat tempatan yang terpilih menyertai Program Pemantapan 5 Usahawan (5U) bimbingan perbadanan tahun ini, akan tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata tiga syarikat sulung yang menyertai program berkenaan berpotensi untuk ke peringkat lebih tinggi menerusi bimbingan perbadanan itu dalam aspek kemahiran pengurusan perniagaan, kewangan dan peluang perniagaan.

“PKNS berharap inisiatif seumpama ini dapat melonjakka­n lagi perniagaan usahawan-usahawan agar mampu bersaing di peringkat lebih tinggi serta tersenarai di bursa saham dengan perkhidmat­an dan produk berkualiti yang popular dalam kalangan pelanggan.

“Menerusi program ini, mereka juga mampu memastikan syarikat terus berkembang tanpa bimbingan PKNS setelah tamat tempoh bimbingan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Noraida berkata menerusi program itu, PKNS membimbing syarikat- syarikat ini melalui pemegangan beberapa peratus saham syarikat 5U berdasarka­n kriteria yang ditetapkan sebagai tanda komitmen melalui suntikan modal, selain memberi latihan praktikal atau kursus-kursus bersesuaia­n.

“Pemantauan selama lima tahun turut dilakukan PKNS terhadap syarikat di bawah program ini, memastikan syarikat terus berkembang tanpa bimbingan PKNS selepas tempoh tamat,” katanya.

Tiga syarikat yang me- nandatanga­ni perjanjian itu adalah Icon Futurehome Sdn Bhd, Al Kauthar Resources Sdn Bhd serta Mutawwif Training and Consultanc­y Academy Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Icon Futurehome, syarikat yang membekalka­n produk dan perkhidmat­an berkaitan aktiviti perumahan pintar, Najman Kamaruddin, berkata penyertaan wakil PKNS dalam syarikatny­a membantu pihaknya menawarkan produknya terus kepada pemaju perumahan besar seperti PKNS. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia