Utusan Borneo (Sarawak)

SIASATAN DALAMAN SEDANG DIJALANKAN

-

KUCHING: Siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung kegagalan pihak polis meredakan kekecohan yang berlaku di hadapan Balai Polis Batu 10, Kota Padawan di sini pada malam Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Video insiden tersebut telah tular di media sosial dan banyak komen yang diterima berhubung kegagalan pihak polis bertindak meredakan kekecohan yang tercetus di hadapan balai polis tersebut.

“Siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas perkara ini. Pihak polis belum dapat mengulas lanjut tentang perkara ini sehingga siasatan dalaman selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas mengenai insiden sekitar jam 8.30 malam itu, Dev memberitah­u punca kejadian disebabkan seorang daripada suspek tidak berpuas hati terhadap seorang lagi suspek yang tidak memberi laluan kepadanya ketika memandu.

“Dia kemudian mengekorin­ya hingga ke pasar raya Giant, Batu 10 dan bertindak merosakkan kereta lelaki itu.

“Kedua-dua pihak bersama rakan-rakan mereka kemudian pergi ke Balai Polis Batu 10 untuk membuat laporan polis apabila kekecohan itu berlaku,” jelas Dev yang turut mengesahka­n tiada kecederaan serius dilaporkan.

Susulan kejadian itu, enam lelaki berusia 20 hingga 27 tahun ditangkap pada malam Isnin oleh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

“Kes disiasat sebagai merusuh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” kata Dev.

Difahamkan, lima suspek ditahan reman tiga hari, manakala seorang lagi direman sehari bermula semalam.

 ??  ?? ROSAK: Keadaan kereta yang telah dirosakkan oleh suspek.
ROSAK: Keadaan kereta yang telah dirosakkan oleh suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia