Utusan Borneo (Sarawak)

PENDAKI WARGA UK TERJATUH DI MULU MENINGGAL DUNIA

-

MIRI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Taman Negara Mulu mengambil masa lapan jam untuk membawa keluar pendaki warga asing yang terjatuh di Puncak Gunung Api malam kelmarin.

Bagaimanap­un, pendaki warga United Kingdom (UK) itu meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri pada jam 2.28 pagi semalam semasa dalam perjalanan turun ke Kem 5.

Mangsa, seorang lelaki yang dikenali sebagai Nigel Bevan, 50-an, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika menuruni puncak tersebut kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

“Pasukan SAR Taman Negara Mulu tiba di lokasi mangsa dilaporkan jatuh kira-kira jam 8.30 malam. Ketika itu, mangsa masih boleh bercakap dan sedar.

“Namun mangsa dilaporkan mula tidak sedarkan diri pada jam 2.28 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menunggu ketibaan mayat mangsa di Hospital Miri semalam.

Law berkata, mangsa berjaya dibawa turun ke Kem 5 pada kira-kira jam 6 pagi semalam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di Mulu kira-kira jam 8.40 pagi tadi (semalam).

“Khidmat Unit Udara Bomba digerakkan ke lokasi jam 7.30 pagi bagi membantu membawa mangsa ke Hospital Miri bagi tindakan selanjutny­a dan mayatnya tiba di sini kira-kira jam 9.35 pagi,” katanya.

Jelas Law, pasukan bomba bertindak atas operasi terbabit selepas menerima e-mel daripada Pengurus Taman Negara Mulu yang melaporkan mengenai pendaki yang terjatuh itu kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Seramai 21 orang dari pasukan SAR Taman Negara Mulu terlibat dalam usaha menyelamat dan membawa turun mangsa dari Puncak Gunung Api.

Mangsa dijadualka­n berada di Taman Negara Mulu selama empat hari tiga malam dan kejadian tersebut berlaku pada hari ketiga lawatannya.

Difahamkan, mangsa tidak mendaki berseorang­an, malah disertai empat pendaki lain dan seorang penunjuk arah.

Sementara itu, Ketua Polis Marudi DSP Gabriel Risut ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, kes ini diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR).

 ??  ?? TRAGIK: Bomba dibantu pasukan SAR Taman Negara Mulu mengangkat mayat mangsa ke helikopter untuk dibawa ke Hospital Miri.
TRAGIK: Bomba dibantu pasukan SAR Taman Negara Mulu mengangkat mayat mangsa ke helikopter untuk dibawa ke Hospital Miri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia