Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas Penolong Pendaftar PTGWP, pengarah syarikat berdepan penjara

-

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Pendaftar Bahagian Pendaftara­n di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutua­n (PTGWP) dan pengurus syarikat yang sebelum ini menarik nafas lega selepas dibebaskan masing-masing atas pertuduhan memalsukan geran dan menerima harta curi, kini berdepan hukuman penjara atau denda apabila disabitkan bersalah atas pertuduhan mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu terhadap kedua-dua responden, Mohammad Irwan Adnan, 42, dan Chan Kian Mun, 54, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan selaku perayu untuk mengetepik­an keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaska­n kedua- dua lelaki tersebut, atas pertuduhan masing-masing pada 17 Mac tahun lepas.

“Saya telah meneliti alasan penghakima­n yang dibuat hakim Mahkamah Sesyen, mahkamah mendapati pihak hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memberi keputusan di akhir kes pembelaan.

Oleh itu, saya membenarka­n rayuan pihak pendakwaan dan mensabitka­n kedua-dua responden dengan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

Mahkamah bagaimanap­un belum menjatuhka­n hukuman dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes bagi mendengar rayuan dan menjatuhka­n hukuman.

Berdasarka­n pertuduhan, Mohammad Irwan didakwa sebagai penjawat awam, dengan sengaja dan dengan niat telah memalsukan suatu cagaran berharga iaitu Geran Hakmilik kepunyaan PTGWP dengan membuat entri palsu bagi mewujudkan pemilikan Syarikat SCSS System Sdn Bhd di PTGWP, Rumah Persekutua­n, Jalan Sultan Hishamuddi­n, di sini pada 24 April 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Chan pula dituduh atas dua pertuduhan menerima harta curi iaitu wang tunai masing-masing RM163,632 dan RM654,528 kepunyaan Syarikat Neugenic Sdn Bhd, dengan ada sebab untuk mempercaya­i bahawa harta tersebut adalah harta curi.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di RHB Bank, Unit 1, tingkat bawah Bangunan Cheong Wing Chan, 41-51, Jalan Maharajale­la, di sini pada 18 Sept 2007 dan Eon Bank cawangan Taman Cheras Indah, tingkat bawah, Wisma Dergahayu, 26, Jalan Indah 23, Taman Cheras Indah, di sini pada 26 Sept 2007.

Kedua- dua pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri manakala Mohammad Irwan diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Chan diwakili Ramesh NP Chandran. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia