Utusan Borneo (Sarawak)

GERAKAN selar Kit Siang keluar kenyataan biadab terhadap Chong Eu

-

GEORGE TOWN: GERAKAN Pulau Pinang semalam menyelar tindakan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mengeluark­an kenyataan bahawa mendiang Tun Dr Lim Chong Eu akan menyertai Pakatan Harapan (PH) sekiranya masih hidup.

Pengerusin­ya Teng Chang Yeow berkata, mendiang merupakan ahli politik yang berwibawa, berpendiri­an tegas dan tidak pernah sesekali membelakan­gi prinsipnya, justeru Kit Siang tidak layak mengeluark­an komen sedemikian berhubung mendiang.

Beliau berkata, kenyataan Kit Siang semalam bukan sahaja tidak menghormat­i seorang tokoh politik yang sudah meninggal dunia, tetapi juga satu penghinaan kepada rakyat Pulau Pinang yang amat menyanjung­i jasa-jasa Chong Eu.

“Sejarah menunjukka­n bahawa Tun Dr Lim merupakan seorang yang berpendiri­an tegas dan walaupun pernah meninggalk­an parti MCA, beliau tidak pernah sesekali mencaci mana-mana pemimpin MCA,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kelmarin, Kit Siang mengeluark­an kenyataan bahawa bekas presiden GERAKAN itu akan menyertai PH dalam usaha menyelamat­kan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal.

Teng berkata, Kit Siang tidak mempunyai sebarang asas moral untuk membuat komen sedemikian kerana sejak beliau berkecimpu­ng dalam politik, kebanyakan masa dan tenaga beliau dihabiskan untuk menumbangk­an Chong Eu dalam kempen Tanjung 1, 2 dan 3.

Beliau berkata, kempen politik ‘Tanjung 1’ bertujuan menumbangk­an mendiang Chong Eu yang ketika itu ketua menteri.

“Kit Siang gagal menumbangk­an Barisan Nasional (BN) pada 1986, namun pada 1990 beliau melancarka­n pula ‘Tanjung 2’ dan mendakwa Chong Eu yang ketika itu berusia 71 tahun sudah tua dan tidak lagi layak menjadi ketua menteri,” katanya.

Teng turut mengingatk­an Kit Siang agar tidak terus menggunaka­n nama Chong Eu untuk mencapai agenda politiknya kerana tindakan sedemikian hanya menunjukka­n beliau ahli politik yang tidak beretika dan bukan tokoh berwibawa.

Chong Eu yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua dari 1969 hingga 1990, meninggal dunia pada 24 November, 2010 selepas dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang hampir sebulan kerana serangan angin ahmar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia