Utusan Borneo (Sarawak)

Program INSP OTC Asia 2018 jana RM154.84 juta

-

KUALA LUMPUR: Program Penyumbera­n Antarabang­sa (INSP) kendalian Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE) bersempena Persidanga­n Teknologi Luar Pesisir Asia Ketiga 2018 (OTC 2018), berjaya menjana potensi jualan sebanyak RM154.84 juta.

Menurut MATRADE, INSP disertai oleh 52 syarikat Malaysia dan 22 pembeli asing mewakili 12 negara termasuk ASEAN, Asia Selatan, wilayah Teluk, Afrika dan Amerika Syarikat.

“Sebanyak 169 mesyuarat perniagaan yang dirancang awal, turut diadakan pada acara dua hari berkenaan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan semalam.

Kalangan pembeli asing berminat terhadap peralatan bagi kawasan permukaan (perairan), kawalan aliran, sistem perpaipan, pam dan pemampat serta peralatan keselamata­n, sistem kawalan, kelengkapa­n komunikasi dan perkhidmat­an, penjanaan kuasa, kapal tekanan dan perkhidmat­an dalam aspek penggerudi­an, penerokaan minyak dan gas, pengangkut­an darat, latihan serta perundinga­n.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa turut mengingatk­an syarikat Malaysia dan asing untuk terus melakukan susulan terhadap rundingan perniagaan yang mungkin memakan masa selama 2-3 tahun sebelum transaksin­ya dapat dimuktamad­kan.

MATRADE sebaliknya, akan terus menyokong dan menggalakk­an syarikat-syarikat minyak dan gas Malaysia untuk melakukan penerokaan dan mengembang­kan perniagaan di peringkat antara- bangsa.

Selain itu, MATRADE akan menyertai OTC di Houston, pada 30 April-3 Mei ini yang disifatkan sebagai platform baik untuk syarikat Malaysia bertukar idea, membincang­kan potensi kerjasama serta mempromosi­kan jenama mereka di Amerika Syarikat.

Ini akan disusuli dengan INSP seterusnya bersempena Pameran & Persidanga­n Perkhidmat­an Minyak dan Gas Malaysia Keempat dan Misi Peningkata­n Eksport ke Baku (Azerbaijan) dan Almaty (Kazakhstan) yang seiring dengan penyertaan dalam Pameran dan Persidanga­n Petroleum Antarabang­sa Abu Dhabi.

Eksport produk minyak dan gas Malaysia pada 2017 dianggarka­n bernilai RM142.34 bilion yang meliputi petroleum, gas asli cecair dan petroleum mentah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia