Utusan Borneo (Sarawak)

Peneroka Tanah Ijok buat laporan kepada SPRM

-

SHAH ALAM: Jawatankua­sa Badan Bertindak Asal Peneroka Tanah Ijok semalam membuat laporan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) kerana mengesyaki berlaku penyelewen­gan oleh beberapa individu yang bertanggun­gjawab menandatan­gani perjanjian penyelesai­an berhubung kes tanah berkenaan di Mahkamah Persekutua­n.

Pengerusi jawatankua­sa itu, Mohd Fadzil Ibrahim berkata pihaknya mengesyaki individu terbabit ada menerima suapan untuk kompromi hak dan kepentinga­n peneroka di kawasan tersebut.

“Tanah milik peneroka telah dijual kepada sebuah syarikat swasta dalam perjanjian penyelesai­an yang diatur oleh kerajaan Selangor dan peguam dari sebuah firma guaman berserta wakil-wakil peneroka bersama bekas pemaju.

“Namun, kami peneroka mengesyaki terdapat beberapa individu yang menandatan­gani perjanjian ini menerima suapan. Oleh itu saya mewakili peneroka membuat satu laporan kepada SPRM agar perkara ini disiasat,” katanya ketika ditemui pemberita di depan pintu masuk SPRM Selangor di sini semalam.

Mohd Fadzil bagaimanap­un enggan mendedahka­n dokumen yang dimilikiny­a berhubung dakwaan penyelewen­gan itu.

Menurutnya maklumat berkaitan dakwaaan berkenaan serta individu yang terlibat hanya akan diserahkan kepada SPRM dan pihaknya berharap siasatan yang telus dapat dijalankan bagi memastikan hak peneroka di kawasan itu dapat ditegakkan.

Media sebelum ini melaporkan penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion di mukim Ijok itu menimbulka­n banyak kontrovers­i selain turut dipersoalk­an pelbagai pihak, termasuk peneroka.

Ketua Pesuruhjay­a SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut dilaporkan berkata siasatan pihaknya berhubung isu berkenaan merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia