Utusan Borneo (Sarawak)

12 nelayan Vietnam ditahan bersama dadah bernilai RM127,500

-

KUANTAN: Seramai 12 nelayan warga Vietnam ditahan setelah Jabatan Perikanan menjumpai 22 peket dadah dianggarka­n bernilai RM127,500 ketika pemeriksaa­n dilakukan terhadap kapal kargo dinaiki, kira-kira 23 batu nautika dari pantai Sungai Miyang, Pekan pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaludin Kudin berkata dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, Jabatan Perikanan telah melakukan pemeriksaa­n terhadap kapal tersebut selepas didapati menceroboh perairan negara dan tidak mempunyai kebenaran un- tuk menangkap hasil laut di negara ini.

“Kapal kargo beralamat di Teluk Intan, Perak dan berdaftar di Mongolia itu kemudian ditarik ke Jeti Perikanan Padang Lalang, Kuantan untuk siasatan lanjut, bagaimanap­un pihak Jabatan Perikanan telah menemukan sebanyak 22 peket dadah seberat 850 gram di dalam almari, rumah kemudi kapal kargo yang digunakan sebagai kapal untuk menangkap ikan itu.

“Kesemua dadah itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Azhari Othman.

Jamaludin berkata kesemua nelayan itu direman dua minggu oleh Jabatan Perikanan untuk didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 16( 3) Akta Perikanan 1985 sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan kes 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Azhari berkata Jabatan Perikanan juga telah merampas vasel kargo yang dianggar bernilai RM500,000 itu dan 1,950 kilogram sotong dipercayai ditangkap secara haram di perairan di negeri ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia