Utusan Borneo (Sarawak)

Tun M pernah berhasrat swastakan FELDA: Ismail Sabri

-

BERA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berhasrat untuk menswastak­an Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n ( FELDA), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu diutarakan Dr Mahathir dengan memperkena­lkan Dasar Persyarika­tan Malaysia, namun mendapat bantahan daripada pengerusi FELDA semasa itu Tan Seri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

“Apabila diperkenal­kan (Dasar Persyarika­tan Malaysia), agensi pertama yang dia (Dr Mahathir) hendak swastakan ialah FELDA tapi tak dapat ( berbuat demikian) disebabkan bantahan Raja Alias.

“Akhirnya dia tak ada pilihan dan swastakan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kalau diswastaka­n FELDA semasa itu, kita tidak tahu bagaimana nasib peneroka pada hari ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Kerja dan Pelancaran Model Baru Lot Perumahan Generasi Baharu FELDA oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak di FELDA Kumai di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal FELDA negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Beliau menambah Dr Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tidak pernah memberi peruntukan khas kepada FELDA sepanjang beliau memerintah negara selama 22 tahun.

Ini katanya, berbeza daripada pendekatan Najib yang telah melakukan pelbagai program dan memberi peruntukan khas kepada peneroka termasuk kepada generasi kedua dan seterusnya.

“Semua peruntukan dan projek yang dilaksanak­an di bawah perdana menteri menunjukka­n beliau prihatin dan sentiasa membela nasib peneroka. Sebab itu kita jangan percaya dengan pembangkan­g yang kata beliau mahu runtuhkan FELDA.

“Perdana Menteri adalah orang yang paling sayang kepada Felda jika hendak dibandingk­an dengan orang lain kerana yang mewujudkan FELDA ialah ayahandany­a, Tun Abdul Razak Hussein.

“FELDA mempunyai nilai sentimenta­l kepada beliau sebagaiman­a juga kalau kita ditinggalk­an dengan peninggala­n daripada orang tua... sudah pasti kita akan jaga sebaik mungkin,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera kemudianny­a merujuk kepada peningkata­n infrastruk­tur di 14 FELDA di daerah ini, yang menurutnya menikmati kemudahan asas yang baik.

Mengambil contoh jalan raya, Ismail Sabri berkata Najib adalah individu yang meluluskan peruntukan bagi permohonan­nya untuk menaik taraf jalan raya dari Simpang Kerayong sehingga ke Triang dan Bukit Mendi yang turut memanfaatk­an penduduk di Bentong dan Muadzam Shah.

“Sudah banyak jasa perdana menteri kepada kita di Bera dan saya harap penduduk di Bera dapat membalas jasa beliau dengan memberikan kemenangan besar di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia