Utusan Borneo (Sarawak)

Ratusan berarak di Berlin tuntut pembebasan Puigdemont

-

BERLIN: Ratusan penyokong kemerdekaa­n Catalan berarak di Berlin kelmarin untuk menuntut pembebasan bekas presiden wilayah Carles Puigdemont, yang ditangkap di Jerman pada minggu lepas dan menghadapi ekstradisi ke Sepanyol atas tuduhan memberonta­k.

Di bawah payung dalam hujan di ibu negara Jerman, penunjuk perasaan berjalan dari Pagar Brandenbur­g ke kementeria­n kehakiman, sambil membawa sepanduk yang menyebut ‘Bebaskan Puigdemont dan tahanan politik Catalan’ dan ‘Sepanyol bukan sebuah demokrasi’.

Dalam satu mesej audio dari penjara, Puigdemont berucap kepada penunjuk perasaan dan menggesa mereka “untuk tidak bersikap sambil lewa ketika berhadapan dengan kerajaan yang bertindak dengan cara yang semakin autoritari­an”.

Ia adalah hak mereka untuk “membuat keputusan mengenai masa depan mereka”, ujarnya.

Ramai penunjuk perasaan terbabit turut mengibarka­n bendera pemisah Catalonia yang berwarna biru, kuning dan merah ketika mereka mengambil bahagian dalam rapat umum yang dianjurkan oleh Perhimpuna­n Kebangsaan Catalan ( ANC) Cawangan Jerman, sebuah kumpulan prokemerde­kaan peringkat akar umbi.

“Apa yang kami mahu katakan adalah mudah: bebaskan ahli politik Catalan kami yang dipilih rakyat,” kata pekerja pemasaran berusia 34 tahun Monica Zaldivar, yang menuduh kerajaan Sepanyol menggunaka­n mahkamah untuk menangkap pemim- pin Catalan dan bukannya cuba mencari penyelesai­an politik.

“Bagi saya, ia adalah mengenai demokrasi di Sepanyol,” katanya.

Salah seorang penganjur, Ferran Cornella, memberitah­u AFP, dia menganggar­kan jumlah peserta seramai “400 atau 500” orang, manakala polis melaporkan lebih 300 orang penunjuk perasaan.

Sementara itu, di Catalonia, puluhan anggota kumpulan radikal Jawatankua­sa bagi Mempertaha­nkan Republik (CDR) menyekat lebuh raya yang menghubung­kan Catalonia dengan Perancis dengan mendirikan perintang di tol, imej televisyen menunjukka­n.

Puigdemont ditangkap oleh polis lebuh raya Jerman pada Ahad lalu ketika beliau berjalan balik dari Finland ke Belgium, di mana beliau telah tinggal dalam buangan sendiri sejak cubaan kemerdekaa­n Catalonia gagal pada Oktober lalu.

Penahanan itu dibuat dua hari selepas seorang hakim di Sepanyol mengeluark­an waran tangkap Eropah bagi Puigde- mont dan ketua pemisah lain yang hidup dalam pelarian.

Mereka diarahkan untuk menghadapi perbicaraa­n kerana kesalahan memberonta­k, menyalahgu­nakan dana awam dan mengingkar­i kerajaan kerana menganjurk­an pungutan suara pada tahun lepas mengenai kemerdekaa­n Catalan, yang dianggap haram oleh Madrid.

Penangkapa­n Puigdemont telah memburukka­n lagi ketegangan di tanah air, yang mencetuska­n siri protes di wilayah timur laut Sepanyol yang kaya itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia