Utusan Borneo (Sarawak)

60,000 jentera penerangan BN dikerah siap siaga tangkis fitnah

-

KLUANG: Kira-kira 60,000 jentera penerangan Barisan Nasional (BN) bersiap siaga untuk menangkis serangan fitnah pembangkan­g yang dijangka meningkat pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Tan Sri Annuar Musa berkata jentera penerangan akan menggunaka­n pendekatan lebih bersepadu yang bukan sahaja secara bersemuka dengan pengundi malah secara maya termasuk media sosial dalam memberi maklum balas segera terhadap fitnah.

“Jentera penerangan mesti berada di saf hadapan kerana kita jangka pembangkan­g merancang untuk menyebarka­n berita palsu termasuk di saat akhir.

“Jentera akan digerakkan bagi memberi maklum balas segera kepada masyarakat berkaitan apa-apa berita palsu yang disebarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ceramah Umum Tolak Pakatan Hipokrasi di Taman Kluang Barat, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali, Pengerusi MCA Bahagian Kluang Gan Ping Sieu, Anggota Jawatankua­sa MCA Pusat Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kesiapsiag­aan jentera penerangan dalam menangkis serangan ditekankan beliau dalam siri perjumpaan bersama anggota jentera di seluruh negara yang kini memasuki pusingan ketiga.

Beliau berkata, langkah itu turut bertepatan dengan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia