Utusan Borneo (Sarawak)

BN perlu tebus maruah di Kelantan pada PRU14: TPM

-

KUALA KRAI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menjadi gelanggang bagi Barisan Nasional (BN) terutamany­a di Kelantan untuk menebus kembali maruah selepas negeri itu diperintah pembangkan­g selama 27 tahun.

Beliau berkata justeru itu, jentera BN perlu bekerja keras dan ikhlas dengan tidak mengharapk­an apa-apa balasan daripada parti agar kemenangan dapat dicapai.

“Kita bekerja bukan kerana duit, kita bekerja bukan kerana upah. Inilah masa dan ketikanya untuk kita menebus maruah dan membasuh arang di muka kita selama 27 tahun di Kelantan ini.

“Inilah peluang yang terbaik untuk kita. Cukuplah selama ini kita menagih seperti ‘melukut di tepi gantang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini, semalam.

Turut hadir sama Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri merangkap Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas- tugas Timbalan Presiden parti berkata pada PRU13, BN kalah tipis di Parlimen Kuala Krai dan memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada empat kerusi DUN yang dipertandi­ngkan.

“Saya lihat dalam PRU13 lalu, kita cuma kalah 2,043 undi bagi kerusi Parlimen Kuala Krai. Kita kurang 1,021 undi sahaja untuk menang.

“Begitu juga kerusi DUN yang lain. Takkanlah kita tak boleh ambil (kerusi DUN) Mengkebang. Kita kalah 1,072 undi sahaja. (Kerusi DUN) Guchil kita kalah 442 undi. (Kerusi DUN) Manek Urai kita kalah 1,633 undi sahaja. Kita akan ambil alih dan pertahanka­n ( kerusi DUN) Dabong dan naikkan undinya,” katanya.

Beliau berkata antara resipi bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Krai adalah dengan menambah jumlah undi di empat DUN di bawahnya.

Dalam sidang berita kemudian, Ahmad Zahid berkata BN mampu memenangi kerusi Parlimen Kuala Krai dan empat DUN di bawahnya kerana kerajaan Persekutua­n pimpinan BN telah membuktika­n bahawa ia merupakan parti yang mengotakan janjijanji­nya.

Beliau berkata ini dibuktikan menerusi pembinaan 1,115 Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada mangsa bencana banjir pada 2014 serta pembinaan hospital baharu Kuala Krai dan beberapa jambatan bagi kemudahan masyarakat di Parlimen berkenaan.

“(Pembinaan infrastruk­tur) bukan hanya faktor untuk memberikan kemenangan ( kepada BN) tetapi pada hemat saya, rakyat Kelantan sendiri perlu terjemahka­n sokongan (kepada BN) kerana mereka dipayungi lembayung kekabutan yang tak kunjung padam.

“Cahaya baharu di hujung terowong harus dicari dan mudah- mudahan lorongloro­ng gelap itu diterangi di bawah kepimpinan baharu,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi membina madrasah bernilai RM200,000 di lima penempatan RKB iaitu Staponal, Sungai Durian, Manjor, Kemubu dan Sungai Peria.

Daripada peruntukan itu, sebanyak RM500,000 disumbangk­an kepada badan bukan kerajaan ( NGO) yang membantu mangsa banjir pada 2014, RM1 juta kepada pesakit kronik dan warga emas, RM2 juta bagi membaiki rumah- rumah daif dan RM2 juta bagi membina jambatan baharu menghubung­kan Rancangan Pemulihan Tanah ( RPT) Temalir ke Kampung Temalir Lama di sini.

Beliau turut menyerahka­n kunci RKB kepada 32 penerima yang menetap di RKB Sungai Peria. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? LAMBAIAN MESRA: Ahmad Zahid melambai tangan ketika hadir bagi merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di SMK Mengkebang di Kuala Krai semalam.
— Gambar Bernama LAMBAIAN MESRA: Ahmad Zahid melambai tangan ketika hadir bagi merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di SMK Mengkebang di Kuala Krai semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia