Utusan Borneo (Sarawak)

Tembakan berdarah di pejabat YouTube

Insiden di California menyebabka­n tiga cedera, suspek wanita dipercayai bunuh diri

-

SAN BRUNO: Tembakan berlaku di pejabat YouTube di California kelmarin, mencederak­an tiga orang dan mencetuska­n panik apabila orang lari bertempiar­an untuk menyelamat­kan diri sebelum penembak yang disyaki – seorang wanita – dipercayai membunuh diri.

Saluran berita California lewat kelmarin menyebut suspek dipercayai seorang pencipta kandungan bertemakan pemakan sayur-sayuran yang telah memarahi YouTube dalam laman sesawang peribadiny­a bagi apa yang dia lihat sebagai penapisan ke atas videonya.

“Suara bebas tidak ada dalam dunia nyata dan anda akan ditindas kerana menyampaik­an kebenaran yang tidak disokong oleh sistem,” kata satu tulisan dalam sebuah laman sesawang yang dikenal pasti sebagai miliknya oleh akhbar San Francisco Chronicle.

“Peluang perkembang­an sama rata tidak ada dalam YouTube atau mana-mana laman perkongsia­n video lain.”

Polis belum lagi secara rasmi mengeluark­an nama penembak yang disyaki atau mengesahka­n motif.

Di tengah-tengah suasana yang huru-hara di bandar San Bruno, seorang wanita yang dipercayai penembak dijumpai mati di lokasi khidmat perkongsia­n video milik Google itu.

“Kita ada satu subjek yang mati di dalam bangunan dengan luka yang dilakukan ke atas diri sendiri,” kata Ketua Polis San Bruno, Ed Barberini, kepada pemberita. “Pada waktu ini, kami percaya ia adalah penembak.”

Anggota polis yang tiba selepas menerima banyak panggilan bantuan menyaksika­n pekerja berlari dari bangunan berkenaan, dan menjumpai seorang individu di hadapan yang dipercayai ditembak pada bahagian kaki, menurut polis.

Empat orang, tiga yang mengalami luka tembakan, telah dibawa ke hospital tempatan, kata polis. Orang keempat yang cedera mengalami buku lali yang terseliuh atau patah.

“Saya tahu ramai daripada anda yang terkejut sekarang,” kata Ketua Eksekutif Google Sundar Pichai dalam mesej kepada pekerja yang dikongsika­n oleh syarikat itu dalam Twitter.

“Saya bersyukur kepada semua orang di dalam dan di luar syarikat di atas luahan sokongan dan mendoakan yang terbaik.”

Beliau mengucapka­n terima kasih kepada pekerja kecemasan kerana bertindak dengan cepat untuk membantu, dan berkata beliau dan ketua YouTube Susan Wojcicki fokus kepada usaha untuk menyokong pekerja ekoran keganasan itu.

“Tiada kata-kata yang dapat menggambar­kan betapa dahsyatnya ia untuk melihat seorang penembak aktif @ YouTube pada hari ini,” tulis Wojcicki.

“Hati kami bersimpati dengan semua mangsa yang cedera dan merasai impak pada hari ini. Kita akan bersatu untuk pulih sebagai sebuah keluarga.”

Serangan tembakan oleh wanita amat jarang sekali berlaku di Amerika Syarikat, di mana kebanyakan keganasan senjata api dilakukan oleh lelaki.

Menurut satu kajian FBI (Biro Siasatan Persekutua­n) yang meneliti 160 insiden melibatkan seorang atau lebih ramai penembak di tempat awam di antara 2000 hingga 2013, hanya enam orang yang melepaskan tembakan adalah wanita, atau 3.8 peratus.

Barberini berkata, mangsa yang cedera “sudah dibawa dan sedang menerima rawatan bagi kecederaan yang dapat dirawat”.

Pekerja menceritak­an tentang huru-hara yang berlaku ketika mereka lari dari pejabat YouTube dekat San Francisco, dan seorang berkata dia ternampak darah di atas lantai ketika dia menyelamat­kan diri.

Serangan berlaku sekitar tengah hari, ketika ramai di YouTube sedang makan tengah hari.

“Kami sedang duduk dalam satu mesyuarat dan kemudian kami terdengar orang berlari kerana ia menggegark­an lantai. Mula-mula sangka ia adalah gempa bumi,” tweet pekerja Todd Sherman.

Sherman berkata ketika dia menuju ke pintu keluar, “seseorang berkata ada orang bawa senjata api” dan menambah “pada ketika itu setiap orang baharu yang saya lihat adalah penembak berpotensi”.

Tweet Sherman menambah: “Saya melihat ke bawah dan melihat titisan darah di atas lantai dan tangga. Mengintai sekitar bagi ancaman dan kemudian kami pergi ke tingkat bawah dan keluar di hadapan”.

Satu imej yang dipaparkan oleh seorang pengguna Twitter menunjukka­n pekerja dibawa keluar dengan tangan yang diangkat, tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Seorang lagi pekerja YouTube, Vadim Lavrusik, tweet: “Penembak aktif di Ibu Pejabat YouTube. Terdengar bunyi tembakan dan melihat orang lari ketika saya duduk di meja saya. Sekarang dikurung di dalam sebuah bilik bersama rakan pekerja lain.”

Kemudian Lavrusik berkata dia berjaya keluar untuk menyelamat­kan diri.

Saksi melaporkan tentang helikopter di tempat kejadian selain pasukan SWAT polis.

Rumah Putih berkata Presiden Donald Trump sudah diberi taklimat dan pentadbira­nnya sedang memantau situasi di San Bruno.

Ibu pejabat YouTube terletak kira-kira 50 kilometer dari kampus utama Google di Mountain View.

Penganjur ‘March for Our Lives’ menghantar mesej solidariti kepada pekerja yang mengalami serangan tembakan terbaharu menerusi Twitter: “Hati kami bersama anda, @YouTube.” — AFP

 ??  ??
 ?? — Gambar Reuters ?? CEMAS: Gambar diambil daripada media sosial milik Graeme MacDonald menunjukka­n anggota polis bergegas untuk menangani kejadian tembakan di pejabat YouTube di San Bruno, California kelmarin.
— Gambar Reuters CEMAS: Gambar diambil daripada media sosial milik Graeme MacDonald menunjukka­n anggota polis bergegas untuk menangani kejadian tembakan di pejabat YouTube di San Bruno, California kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia