Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Besut tahan dua suspek edar dadah

-

BESUT: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah di dua lokasi berbeza kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut Superinten­den Mohd Zamri Mohd Rowi berkata lelaki pertama berumur 34 tahun yang tidak bekerja itu ditangkap di rumahnya di Kampung Padang Lengkuas, Jertih hasil maklumat orang ramai pada jam 12.40 tengah hari.

“Suspek disyaki aktif mengedar dadah di kawasan Taman Johor Jaya, Johor dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau.

“Ketika serbuan dilakukan di rumahnya, polis membuat pemeriksaa­n ke dalam bilik tidurnya dan menemui sebuah beg berwarna hitam yang mengandung­i pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu dan pil yaba dipercayai untuk diedar kepada pelanggan di sekitar kawasan Jertih,” katanya kepada media di sini semalam.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif Methamphet­amine dan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, polis menangkap seorang lagi lelaki berumur 34 tahun ketika cuba melarikan diri dengan pelbagai jenis dadah di Kampung Beting Lintang, Kampung Raja kira-kira 7.45 malam.

Mohd Zamri berkata bertindak atas maklumat orang ramai, enam anggota polis pergi ke lokasi dan ternampak suspek dalam keadaan mencurigak­an dan cuba melarikan diri ke dalam semak apabila menyedari kehadiran polis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia