Utusan Borneo (Sarawak)

Lakukan rompakan bersenjata, lelaki dipenjara tujuh tahun, tiga sebatan

-

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang pemandu kereta Grab wanita pada bulan lepas.

Mohd Shahanaaz Suri mengakui melakukan kesalahan itu pada 23 Mac lalu sekitar jam 9.30 malam di Jalan Stakan di sini.

Dia disabit kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan oleh Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mangsa berusia 45 tahun itu telah mengambil seorang penumpang lelaki, yang kemudian dikenal pasti sebagai tertuduh, selepas menerima permintaan tumpangan dari aplikasi e-hailing dari lokasi di Lorong 14, Stapok untuk pergi ke pusat sukan di Jalan Stakan.

Selepas tiba di destinasi, suspek meminta mangsa menghantar­nya ke Muara Tuang untuk berjumpa dengan seorang kawan.

Shahanaaz mengeluark­an parang dan mengacunya ke leher mangsa sebelum tertuduh meminta mangsa keluar dari kereta.

Tertuduh lari dari tempat kejadian bersama barang peribadi milik mangsa termasuk sebuah telefon pintar yang masih berada di dalam kenderaan.

Bagaimanap­un mangsa tidak dicederaka­n.

Parang yang digunakan turut dirampas daripada tertuduh ketika tangkapan dilakukan pada 27 Mac lalu sekitar jam 4 petang di kuarters pekerja pembinaan di Jalan Wan Alwi.

Pada mulanya tertuduh menghadapi dua tuduhan menjual kenderaan curi dan telefon bimbit, tetapi selepas inkuiri, pendakwa raya memohon agar tuduhan itu ditarik balik.

Hukuman penjara diarahkan untuk berkuat kuasa sertamerta selepas hukuman dijatuhkan.

DPP Ahmad Farid Abdul Hamid mendakwa kes bagi pihak pendakwaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia