Utusan Borneo (Sarawak)

Daesh: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 10 tahun pembantu kantin

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalka­n hukuman penjara 10 tahun terhadap pembantu kantin yang mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dan memiliki sehelai baju yang tertera lambang kumpulan pengganas itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Muhamad Noor Helmy Mohd Sabri, 32, terhadap hukuman penjara 10 tahun kerana memberi sokongan kepada pengganas melalui media sosial telegram dan penjara tiga tahun bagi pertuduhan memiliki sehelai baju berwarna hitam yang tertera lambang kumpulan pengganas itu.

Muhamad Noor Helmy merayu penguranga­n hukuman itu, yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Julai 2017 selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Tinggi memerintah­kan kedua-dua hukuman terhadapny­a berjalan serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 17 Mac 2017.

Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakimhakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Kamardin Hashim juga menolak rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu.

“Rayuan kamu ditolak, rayuan silang pendakwaan juga ditolak. Rayuan tidak ada merit. Hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami harap kamu insaf dan mempunyai masa dan ruang untuk fikirkan perbuatan kamu,” kata Hakim Mohtarudin.

Terdahulu, Muhamad Noor Helmy yang mewakili dirinya sendiri, merayu supaya kedua-dua hukuman ke atasnya dikurangka­n kerana terdapat tertuduh lain yang melakukan kesalahan sama dijatuhi hukuman lebih rendah.

Hakim Mohd Zawawi : Kamu kata hukuman 10 tahun dan tiga tahun tinggi?

Muhamad Noor Helmy: Sebab ada yang kena tujuh tahun dan yang terbaharu dapat enam tahun. Bagi kesalahan memiliki baju itu pula, ada dapat dua tahun dan setahun. Jadi saya minta hukuman dikurangka­n.

Hakim Kamardin berkata semasa beliau mendengar kes pengganas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau tidak pernah menjatuhka­n hukuman penjara di bawah 10 tahun bagi kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Hakim itu berkata kebiasaan- nya, hukuman yang dijatuhiny­a adalah antara 12 hingga 18 tahun mengikut peranan tertuduh dalam kes itu kerana hukuman maksimum adalah 30 tahun.

Hakim Mohtarudin pula berkata hukuman itu diputuskan berdasarka­n fakta kes di mana dalam kes ini perayu (Muhamad Noor Helmy) tidak merekrut orang lain, oleh itu, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

“Jangan main-main dalam kes berkaitan pengganas,” nasihat Hakim Mohtarudin kepada perayu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha mewakili pihak pendakwaan.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan ke atas perbualan perayu dalam aplikasi Telegram didapati lelaki itu telah menyatakan hasratnya untuk berhijrah ke Paso, Indonesia bagi menyokong dan berjuang untuk Daesh sebelum terus berhijrah ke Syria.

Hasil analisis pakar terhadap 20 keping gambar kandungan perbualan Telegram tersebut secara jelas menunjukka­n perayu merupakan seorang daripada penyokong tegar Daesh.

Pakar juga berpendapa­t perayu merupakan pembawa mesej kumpulan Daesh yang amat berbahaya dan boleh mengancam keselamata­n negara.

Muhamad Noor Helmy mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sehelai baju berwarna hitam yang tertera lambang kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di alamat No.382, Jalan 9, Taman Tapah, Tapak, Perak pada kira-kira 6.45 petang, 17 Mac 2017 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntu­k hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu dengan pengetahua­n memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui media sosial Telegram menggunaka­n nama ‘Abu Suffyan’ di Pejabat Bahagian E8 (Counter-Terrorism), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini antara 22 Februari hingga 15 Mac 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntu­k hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia