Utusan Borneo (Sarawak)

Aplikasi e-hailing ‘MyCar’ dilancar, untuk seimbangka­n industri e-hailing Malaysia

-

PETALING JAYA: Warga Lembah Klang kini ditawarkan dengan satu lagi kemudahan perkhidmat­an ‘ehailing’ terbaharu menerusi pelancaran aplikasi ‘MyCar’ semalam.

‘MyCar’ yang dibangunka­n oleh Platform Apps Sdn Bhd bertujuan untuk seimbangka­n industri ‘e-hailing’ di Malaysia selain menyediaka­n platform kepada pemandu untuk menjana pendapatan.

Pengasasny­a, Mohd Noah Maideen berkata aplikasi yang memulakan operasi sejak 1 Februari lalu turut memberi pilihan kepada bekas pemandu ‘Uber’ selepas perkhidmat­an itu bergabung dengan ‘Grab’ pada 26 Mac lalu.

“Aplikasi ini dapat membantu pemandu- pemandu untuk mendapat akses kepada permintaan pengguna dalam pasaran e-hailing yang semakin meningkat dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih.

“Selain itu, ia juga turut seimbangka­n industri e-hailing di Malaysia dan seterusnya mewujudkan persaingan sihat dalam memberikan perkhidmat­an terbaik kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 57,000 pemandu berdaftar dengan aplikasi ‘MyCar’ sejak ia beroperasi pada Februari lalu.

“Daripada jumlah itu, 10 peratus daripadany­a adalah pemandu wanita,” katanya.

Mohd Noah berkata sambutan yang diterima juga amat memberangs­angkan apabila sejak dua bulan aplikasi ini beroperasi, sudah 5,000 penumpang menggunaka­n perkhidmat­an ini.

Sama seperti kemudahan perkhidmat­an ‘e-hailing’ lain, ‘MyCar’ kini boleh dimuat turun di mana-mana telefon pintar secara percuma.

Katanya aplikasi itu juga akan dilengkapi dengan butang SOS sebagai langkah keselamata­n tambahan kepada penumpang dan pemandu sekiranya berasakan keselamata­n mereka terancam.

Katanya pihaknya turut menjalanka­n proses pendaftara­n pemandu sama seperti aplikasi ‘e-hailing’ yang lain dengan berpanduka­n kepada garis panduan Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat Malaysia (SPAD) seperti menyediaka­n dokumen pengenalan diri, geran kereta dan tiada rekod jenayah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia