Utusan Borneo (Sarawak)

Kecederaan Lallana tidak seteruk yang digambarka­n, jelas Klopp

-

LIVERPOOL, England: Kecederaan kepada pemain tengah Liverpool, Adam Lallana tidak seteruk yang digambarka­n pada awalnya dan beliau mungkin dapat beraksi sebelum akhir musim ini, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Lallana mengalami kecederaan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 2-1 dalam aksi liga Sabtu lepas.

“Nasib baik ia tidak seteruk yang kami bayangkan – (rehat) beberapa minggu sahaja,” kata Klopp menerusi laman sesawang rasmi Liverpool.

“Sudah tentu ada sedikit harapan di mana kami boleh menurunkan beliau sekali lagi musim ini tetapi kami harus menunggu; ia bukan masa untuk terburu-buru dalam situasi ini.

“Ia bukannya musim Adam Lallana sudah berakhir. Ia menjadi musim ini lebih istimewa apabila anda memikirkan kami bermain tanpa beliau musim ini.”

Lallana, yang tidak beraksi pada separuh pertama musim selepas mengalami kecederaan pada pramusim, hanya bermain satu perlawanan liga musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu diturunkan bersama skuad England ketika perlawanan persahabat­an menentang Itali minggu lepas tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk kembali cergas untuk beraksi bersama England di Piala Dunia 2018 di Rusia.

Jurulatih England, Gareth Southgate harus menamakan skuad akhir 23 pemain ke Rusia sebelum 4 Jun depan. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia