Utusan Borneo (Sarawak)

Kumpulan Kenanga raih enam anugerah

-

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kumpulan Kenanga) meraih enam anugerah dan dinamakan ‘Pertubuhan Mengambil Bahagian Paling Inovatif’ kerana membawakan idea baharu dan inovasi kepada pasaran.

Dalam kenyataan semalam, Kumpulan Kenanga berkata, anugerah itu diterima pada acara tahunan Anugerah Kecemerlan­gan Bursa yang mengiktira­f broker dan perantara pasaran berprestas­i bintang pada 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong, berkata antara penyumbang utama kepada kejayaan kumpulan adalah pelaburan berterusan dalam modal insan, teknologi dan kerjasama dengan rakan kongsi, sama ada tempatan atau luar negara.

“Kami akan terus beraspiras­i untuk meneroka perspektif baharu dan peluang untuk membantu membentuk masa hadapan pasaran modal di Malaysia.

“Bursa tempatan berakhir dengan mencatatka­n prestasi baik pada 2017, dengan saham permodalan kecil dan sederhana meningkat populariti­nya disokong oleh beberapa langkah diperkenal­kan pihak kawal selia bagi memacu pasaran ekuiti runcit,” katanya dan menambah, aktiviti pasaran dijangka akan berterusan pada aliran positif.

Enam anugerah yang diraih itu adalah Pertubuhan Mengambil Bahagian Paling Inovatif, Remiseir Terbaik, Peserta Dagangan Terbaik Ekuiti dan Derivatif Kewangan, Peserta Dagangan Derivatif Terbaik Keseluruha­n, Pertubuhan Mengambil Bahagian Ekuiti Runcit Terbaik dan Peserta Institusi Dagangan Derivatif Terbaik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia