Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki amuk cederakan isteri di Labuan, meninggal dunia

-

LABUAN: Seorang lelaki yang mengamuk hingga mencederak­an isteri dan anak lelakinya dengan parang di sini petang kelmarin, meninggal dunia di Labuan Nucleus Hospital malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 53 tahun bertugas di Pusat Koreksiona­l Labuan, dengan pangkat sarjan, tidak sedarkan diri di Wad Kecemasan hospital itu pada jam 9.10 malam tatkala menerima rawatan.

Mengesahka­n perkara itu, Ketua Polis Labuan Supt Mohamad Farid Ahmad berkata lelaki itu yang turut mencederak­an dirinya dengan mengelar lehernya, meninggal dunia tiga jam kemudian selepas dimasukkan ke hospital pada 6 petang.

Isterinya, 45, yang kini dirawat di Hospital Labuan masih lagi trauma dan dalam keadaan kritikal manakala anak lelakinya yang berusia 23 tahun, dibenarkan pulang ke rumah.

Dipercayai mangsa mengamuk kerana mempunyai masalah rumah tangga menyebabka­n dia melibas isterinya dengan parang pada bahagian perut, bahu dan kaki manakala anak lelakinya yang bergelut dengan suspek, juga mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Dalam insiden selama tiga jam bermula jam 3 petang kelmarin, dia mengugut untuk membunuh diri dan turut dilihat bertengkar dengan beberapa individu dipercayai rakan sekerjanya yang cuba menenangka­n lelaki itu.

Sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Bebuloh dan Balai Polis Daerah Labuan diketuai Ketuanya, Supt Mohamad Farid Ahmad dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah DSP Boniface Bajai yang bergegas ke tempat kejadian cuba menenangka­n suspek bagaimanap­un dia semakin agresif.

Bagaimanap­un, dia akhirnya bersetuju untuk memandu keretanya sendiri ke balai polis untuk menyerah diri pada jam 6 petang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia